Melaka: Sharp-Roxy Sales and Service Company (M) Sdn Bhd menyasarkan jualan produk keselamatan rumah, ‘Sharp Cloud SmartHome System’ (CSS) sehingga 10,000 unit dengan nilai RM20 juta menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Pemasarannya Linda Lim berkata, pihaknya yakin produk segmen keselamatan rumah yang kali pertama diperkenalkan untuk pasaran negara November lalu itu mampu menyumbang kepada enam peratus daripada jualan keseluruhan syarikat tahun ini.

Menurutnya, ketika ini, segmen produk elektrik pengguna masih menjadi penyumbang utama kepada syarikat iaitu 70 peratus, namun syarikat yakin segmen baru itu turut mampu meningkatkan nilai sumbangan jualannya secara berperingkat pada setiap tahun.

“Kita yakin terdapat permintaan tinggi terhadap produk sistem keselamatan rumah di Malaysia dan kerana itu membawa masuk produk seumpama ini buat kali pertama di negara ini.

“Dengan penembusan Internet sudah melebihi 70 peratus di negara ini selain kemampuan rakyat Malaysia memiliki telefon pintar dan kesedaran tinggi terhadap keselamatan di rumah, maka kami cuba menembusi pasaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program memperkenalkan produk inovasi terbarunya CSS sempena Jelajah Sharp Greatest Bonanza bersama Home Decor Fair dari 19 sehingga 22 Mac ini di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Cawangan Melakanya, Lawrence Lim.

Linda berkata, CSS tidak seperti sistem keselamatan yang memerlukan pemasangan profesional kerana ia mudah untuk dipasang sendiri oleh pelanggan.

Katanya, pengguna juga mempunyai akses penuh kepada sistem itu walau di mana saja pada bila-bila masa dengan syarat dihubungkan kepada Internet menerusi aplikasi pada peranti pintar masing-masing.

“Sistem ini sesuai digunakan pada platform iOS Apple dan Android di Malaysia dan sistem itu membenarkan pelanggan melantik sehingga lima penama yang diberi kuasa untuk mengakses sistem ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:10 AM