PUSAT Perdana Kanak-Kanak R.E.A.L di Setia Eco Park.
LAWATAN ke kelas Kanak-Kanak R.E.A.L turut diadakan.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Menyedari kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, syarikat pemaju hartanah terkemuka SP Setia bersama Kumpulan Pendidikan R.E.A.L melancarkan Kanak-Kanak R.E.A.L di Setia Eco Park.

Terletak di perbandaran Setia Alam yang berkembang maju, Setia Eco Park yang berkeluasan 320.106 hektar memperuntukkan 25 peratus daripada keluasan tanahnya bagi mewujudkan tasik semula jadi, anak sungai, taman bertema landskap, laluan pejalan kaki dan taman hutan.

Ia bertujuan mengadakan persekitaran selamat dan kondusif termasuk untuk pendidikan kanak-kanak prasekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif Bandar Eco-Setia Sdn Bhd, Datuk Koe Peng Kang berkata, beberapa tambahan seperti kemudahan pendidikan berprestij di Setia Eco Park membolehkan penghuninya tinggal dalam suasana kondusif.

“Konsep untuk mendidik serta mampu memberi inspirasi kepada generasi muda dikatakan sesuai kerana wujudnya kemudahan mesra alam dan rangsangan persekitaran.

“Malah, keindahan alam semula jadi yang diilhamkan menerusi laluan air, tasik, anak sungai, taman tema landskap dan laluan hutan pejalan kaki menarik Kanak-Kanak R.E.A.L untuk menubuhkan pusatnya di sini,” katanya yang turut merasmikan majlis itu diiringi Presiden Kumpulan Pendidikan R.E.A.L, Ee Ching Wah.

Kualiti unik di Setia Eco Park ini juga tercipta dengan kewujudan santuari burung dan rama-rama semula jadi dalam perbandaran ini.

Lebih 20,000 pelbagai tanaman nektar dan makanan rama-rama ditanam bagi menarik kedatangan pelbagai jenis dan spesies rama-rama manakala hampir 1,000 spesies tumbuhan ditanam untuk meningkatkan santuari rama-rama.

Kajian turut menunjukkan, sekurang-kurangnya lapan spesies burung pemastautin kini tinggal di lokasi strategik di Setia Eco Park dengan ekosistem semula jadi dan stesen pemberian makanan diletakkan secara strategik di seluruh taman.

Persekitaran semula jadi ini memberi peluang kepada Kanak-Kanak R.E.A.L Setia Eco Park mendekatkan diri dalam pendidikan praktikal mengenai ekosistem semula jadi pada usia muda.

Bukan saja belajar untuk menghargai alam semula jadi, mereka juga mempelajari pemuliharaan alam sekitar.

Setia Eco Park mempunyai kapasiti bangunan bersepadu photovoltaic (BIPV) terbesar dalam kawasan perumahan dengan penjanaan tenaga solar 1.6 MW bagi penggunaan sumber kuasa yang berterusan untuk masyarakat.

Setia Eco Park memasang BIPV untuk menjana tenaga boleh diperbaharui yang disalurkan kepada grid nasional bertujuan melindungi alam sekitar dengan mengurangkan perubahan iklim dan pelepasan gas rumah hijau.

Sesuai dengan falsafah S P Setia iaitu Live, Learn, Work, Play, pendidikan berkualiti yang disediakan dalam perbandaran Eco Park adalah keperluan asas untuk komuniti sekeliling terutamanya ibu bapa yang bekerja.

Ibu bapa yang bekerja di pusat perdagangan sekitar Setia Alam serta mereka yang sentiasa mencari pendidikan berkualiti di lokasi selamat dan terjamin berhampiran pejabat turut menerima manfaat daripada pembukaan Pusat Kanak-Kanak R.E.A.L ini.

Tambah Koe, jika perkongsian itu berjaya, S P Setia mempertimbangkan untuk meneruskan perkongsian ke perbandaran lain, bukan saja di Lembah Klang, malah ke Pulau Pinang dan Johor.

Keselamatan anak di Kanak-Kanak R.E.A.L Setia Eco Park dijamin kerana kesejahteraan dan keselamatan masyarakat adalah amat penting.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:02 AM