KETANGKASAN anggota Komando 69 memukau pengunjung Lima'15. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
KETANGKASAN anggota Komando 69 memukau pengunjung Lima'15. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
KETANGKASAN anggota Komando 69 memukau pengunjung Lima'15. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
KETANGKASAN anggota Komando 69 memukau pengunjung Lima'15. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Langkawi: Komando 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencuri tumpuan pengunjung dengan mempamerkan aksi mendebarkan ketika mampertontonkan ketangkasan mereka pada sesi pertunjukkan maritim di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’15), di sini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, berkata PDRM mempertontonkan kemampuan pasukan maritimnya terutama pasukan Komando 69 yang dilatih khusus untuk menangani insiden pencerobohan melibatkan tebusan.

“Kita tonjolkan dua senario iaitu keadaan kita cuba bebaskan mangsa yang diculik dan matlamat utama kita adalah untuk menyelamatkan nyawa,” katanya selepas menyaksikan pertunjukan di Resort World Langkawi.

Menurutnya, senario kedua yang dipersembahkan oleh pasukan marin PDRM ialah kemampuan unit itu untuk menggempur dan menyerang kubu penjenayah yang dikenal pasti melalui risikan.

“Kita nak tunjukkan kepada pengunjung bahawa pasukan marin, unit udara dan Komando 69 dilatih khusus untuk menghadapi situasi mencemaskan begini,” katanya.

Sementara itu, penonton, Normahaily Mohd Nor, 30, berkata pertunjukkan pasukan marin PDRM kali ini membuktikan bahawa pasukan keselamatan negara mampu menjalankan misi menyelamat mangsa culik.

Pertunjukkan marin PDRM turut disaksikan oleh pegawai tertinggi polis daripada beberapa negara terbabit dengan LIMA’15 dan menampilkan beberapa aset marin PDRM termasuk bot PSC 17 watercat, dua bot RHIB 27 dan 34, bot pemintas PSC, jetski polis serta dua helikopter dari unit Udara PDRM.

Segmen maritim kali ini membabitkan lebih 65 aset dari beberapa negara termasuk tiga buah dari Rusia dan Malaysia menampilkan 12 kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk kapal selam kelas Scorpene, KD Tunku Abdul Rahman serta lapan kapal dan 28 bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia turut serta.

Segmen maritim juga menampilkan demonstrasi bot TLDM, PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 9:09 PM