TIGA peranti berserta tiga aksesori yang diperkenal Neptune. FOTO Neptune
Oleh Hisyam Salleh
saiful.hisyam@mediaprima.com.my


PENGHUJUNG 2013, syarikat yang dikenali sebagai Neptune memperkenalkan produk sulung mereka iaitu jam tangan pintar yang boleh digunakan tanpa sambungan telefon pintar.

Tahun ini mereka kembali dengan peranti baru pada projek yang disokong oleh orang ramai menerusi laman Indiegogo.com iaitu Projek Neptune Suite.

Dengan memperkenalkan peranti asas iaitu terdiri daripada enam jenis peranti berbeza, namun dijanjikan Neptune kesemuanya akan 'bekerja' sempurna antara satu sama lain.

Walaupun banyak syarikat gergasi sedang bekerja keras menambahbaik rekaan jam pintar keluaran mereka yang dikuasakan dengan sambungan terus ke telefon pintar, namun bagi Neptune, mereka menghasilkan kesemua peranti iaitu tablet, telefon pintar serta komputer riba yang dikuasakan terus dari jam tangan pintar.

Bunyi macam pelik, projek yang dianggap gila oleh sesetengah pihak ini mendapat sambutan orang ramai dengan dana terkumpul sebanyak RM3,159,129 (AS$859,130) iaitu kenaikan 859 peratus daripada permintaan asal RM367,782 (AS$100,000).

Jam tangan pintar yang dipanggil 'The Hub' akan menjadi peranti utama dalam menggerakkan kesemua peranti lain terdiri daripada telefon, tablet dan komputer riba.

Jam dengan paparan 2.4 inci itu menggunakan kad sim nano dengan sambungan 3G/LTE serta dimuatkan sistem operasi Android 5.0 Lollipop.

Versi telefon pintar yang dipanggil 'Pocket Screen' dan versi tablet 'Tab Screen' akan akan disambungkan terus pada 'The Hub' menerusi sambungan tanpa wayar jarak dekat yang pantas 802.11ad WiGig yang terbina didalamnya.

Dalam pada itu, tiga jenis aksesori yang turut disertakan di dalam suite itu adalah papan kekunci yang menukar mod tablet kepada komputer riba, dongel HDMI bagi sambungan terus ke TV (seperti Google Chromecast) dan fon telinga tanpa wayar.

Apa yang cuba dilakukan Neptune adalah apabila pengguna boleh bergantung pada setiap peranti yang diperkenalkan mengikut gerak kerja serta tugasan yang berbeza.

Neptune juga menjanjikan setiap peranti rekaan mereka ini akan memiliki kadar penggunaan bateri yang lebih baik dan murah.

Walaupun terlalu bercita-cita tinggi, idea meletakkan kuasa pengkomputeran mudah alih pada tubuh manusia dan bukannya di dalam saku atau beg, menjadikannya sangat menarik.

Walaupun begitu, terdapat beberapa sebab teknikal yang mengapa syarikat-syarikat besar seperti Google, Microsoft, dan Apple tidak mencipta peranti sebegini.

Mungkin memuatkan sesuatu yang amat berkuasa serta teknologi yang tahan lapuk amat sukar dimuatkan di pergelangan tangan.

Dengan menjadi penyokong terawal, anda mungkin boleh memiliki kesemuanya pada harga RM2,220 (AS$599) dan tempahan yang dibuat akan di hantar ke seluruh dunia pada Februari 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:40 PM