SUSPEK yang ditahan semula dan direman selama empat hari untuk bantu siasatan kes dera pula.
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang pengasuh yang sebelum ini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kes dera hingga mati seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dibebaskan hari ini, namun ditangkap semula.

Wanita berusia 26 tahun itu, ditahan semula dan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang juga abang kepada kanak-kanak perempuan yang didera hingga mati berkenaan.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan membenarkan suspek direman sehingga 22 Mac ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung kes dera terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 3 Mac lalu, mangsa, Nor Saraniya Abdullah, 3, disahkan meninggal dunia di kediaman suspek di Kledang Jaya oleh pasukan perubatan selepas mangsa dilaporkan tidak sedar diri dan mengalami pendarahan pada mulut.

Hasil bedah siasat terhadap mangsa kemudian mendapati kanak-kanak terbabit meninggal dunia akibat jangkitan kuman kerana kekurangan zat makanan, selain itu terdapat juga kesan kecederaan dipercayai akibat kekerasan atau penderaan terhadap anggota badan mangsa.

Dalam kejadian itu, abang mangsa yang berusia enam tahun turut dipercayai didera oleh suspek sama dan suspek kemudian ditahan polis kira-kira jam 2.30 petang 4 Mac lalu di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, serta direman sehingga semalam untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 12:04 PM