Eric bergambar di hadapan pesawat Rafale di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi, semalam.

Langkawi: Dassault Aviation akan menawarkan pakej pembiayaan kewangan hampir sama kepada kerajaan Malaysia sebagaimana ditawarkan kepada kerajaan Mesir bagi pembelian jet tempur, Rafale dalam program penggantian pesawat MiG-29 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pada awal tahun ini, Mesir memuktamadkan perjanjian pakej pembelian 24 buah pesawat Rafale termasuk kelengkapan peluru dan sebuah kapal perang bernilai 5.3 bilion Euro selain sokongan penuh meliputi latihan serta penyelenggaraan pesawat.

Ketua Pegawai Eksekutif Dassault Aviation dan Rafale International, Eric Trappier berkata, pakej yang ditawarkan kepada Mesir itu turut meliputi pembiayaan pinjaman selama 10 tahun daripada bank komersial di Perancis dan dijamin oleh kerajaan Perancis.

“Pakej yang ditawarkan kepada Mesir ini adalah satu pakej yang juga menarik untuk Malaysia sekiranya cadangan pembelian ini dapat dimuktamadkan pada masa depan.

“Kami komited dan mahu terus meneroka peluang perniagaan jangka panjang di negara ini kerana kami memiliki jet tempur terbaik yang boleh digunakan untuk pelbagai misi,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan seperti Zetro Aerospace, CTRM dan Airod sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengembangkan perniagaan dalam industri aeroangkasa di Malaysia.

Katanya, syarikat juga sedang meneroka peluang dengan syarikat tempatan lain yang mempunyai potensi untuk bekerjasama dengan Dassault bagi tujuan pemindahan teknologi ke negara ini termasuk penghasilan alat ganti atau komponen untuk membina pesawat itu.

“Kami juga mahu menawarkan pakej industri yang berbeza kepada Malaysia seperti barisan pengeluaran akhir bagi pesawat, pengeluaran alat ganti tertentu, pembangunan, penyelengaraan dan sokongan kepada mana-mana syarikat tempatan yang memiliki keupayaan menghasilkannya sekiranya mereka bekerjasama dengan kami,” katanya.

Mengulas mengenai pelancaran Pelan Induk Aeroangkasa Kedua 2030 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sempena LIMA’15 kelmarin, Eric berkata pelan itu selari dengan hala tuju syarikat di negara ini.

Beliau berkata, Dassault turut melihat pelan itu sebagai peluang baik untuk mengadakan usahasama dengan lebih banyak syarikat di negara ini dan tidak hanya tertumpu kepada aspek penjualan pesawat semata-mata.

“Kami percaya, kami mampu berjaya di sini kerana kami memiliki pesawat terbaik untuk ditawarkan malah kami juga mempunyai hubungan antara kerajaan yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:36 AM