Melaka: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan empat juta pembayar cukai akan menggunakan aplikasi dalam talian, e-Filing pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, pada tahun lalu, LHDN mencatatkan seramai 3.8 juta orang daripada daripada enam juta pembayar cukai menggunakan aplikasi e-Filing bagi membuat pembayaran cukai masing-masing.

“Saya menggalakkan pembayar cukai memilih menggunakan kemudahan e-Filing kerana prosesnya jauh lebih mudah dan hanya perlu menggunakan aplikasi telefon pintar berbanding cara manual yang memerlukan pembayar cukai melengkapkan borang terlebih dulu.

“Dengan ada kemudahan e-Filing ini, kami harapkan sasaran itu dapat dicapai, sekali gus menggalakkan pembayar cukai terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Kepimpinan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.

Seminar anjuran Perbadanan Kemajuan Adat Melaka (Pertam) itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usa hawan Melaka Datuk Hasan Abd Rahman.

Kemudahan e-Filing adalah aplikasi percuma disediakan LHDN untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) secara elektronik melalui Internet.

Beliau berkata, semua pembayar cukai dinasihatkan mengisytiharkan cukai pendapatan masing-masing menerusi e-Filing sebagai langkah mengelak kesesakan terutama menjelang tarikh akhir menghantar borang.

“Tarikh akhir mengembalikan BNCP bagi punca pendapatan bukan perniagaan (Borang BE) dan bayaran baki cukai perlu dibayar melalui sistem e-Filing dilanjutkan hingga 15 Mei ini.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang mengisi borang secara manual, tarikh akhir kekal pada 30 April dan penalti akan dikenakan jika mereka gagal mengisi borang selepas tarikh berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:33 AM