SEORANG wanita Palestin membaca muka depan sebuah akhbar Palestin mengenai pilihan raya Israel, di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, semalam.
AP

Tel Aviv: Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berjaya memenangi pilihan raya umum negara itu yang diumumkan semalam walaupun berdepan tentangan sengit daripada parti pembangkang.

Selepas hampir semua peti undi dikira, parti Likud memenangi 30 kerusi daripada 120 kerusi yang dipertandingkan dan dijangka membentuk kerajaan campuran dengan sekutunya dari parti nasionalis, keagamaan dan ultra-Ortodoks Yahudi.

Kerajaan campuran itu dilihat meletakkan Israel tidak sehaluan dengan komuniti antarabangsa berhubung isu pembinaan penempatan haram dan pembentukan negara Palestin.

Tinjauan pendapat sebelum pilihan raya menunjukkan Netanyahu berdepan masalah dan meramalkan kemenangan tipis pemimpin Kesatuan Zionis, Isaac Herzog.

Tinjauan pendapat selepas pengundian kelmarin mendapati kedua-dua parti itu terikat tetapi apabila keputusan mula diumumkan semalam, parti Likud terus memenangi banyak kerusi.

Parti Kesatuan Zionis hanya memperoleh 24 kerusi.

Gabungan empat parti Arab menjadi parti ketiga terbesar di Parlimen apabila memperoleh 14 kerusi.

Buat kali pertama suara penduduk Arab yang menjadi minoriti di Israel mempunyai pengaruh lebih besar di Parlimen negara itu.

Secara keseluruhan sebanyak 10 parti berjaya menduduki kerusi parlimen kali ini.

Herzog yang beberapa hari lalu yakin mampu berkuasa akhirnya mengaku kalah.

Dia juga membayangkan tidak akan menyertai kerajaan Netanyahu dan lebih rela mengetuai pembangkang.

Netanyahu membuat pusingan U dramatik pada saat-saat akhir pengundian dengan menegaskan bahawa dia menentang pembentukan negara Palestin.

Pembentukan negara Palestin adalah isu utama komuniti antarabangsa dan sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat.

Pemimpin Zionis itu juga berjanji untuk meluaskan pembinaan penempatan haram Yahudi di satu lokasi di timur Baitulmaqdis yang hendak dijadikan ibu negara oleh penduduk Palestin sekiranya cita-cita mereka membentuk negara merdeka berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:16 AM