ANTARA perhiasan dalaman yang dipamerkan pada Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Kraftangan Malaysia menjangkakan mampu mencapai jualan RM3 juta bagi acara Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014 berbanding RM2.4 juta pada tahun lalu didorong fokus kepada dua bidang utama iaitu Hiasan Dalaman dan Seni Taman.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunannya, Shahrudin Mohd Nor berkata, kraftangan dalam dua bidang itu menawarkan potensi besar kepada usahawan kerana ia memiliki ruang lingkup luas, namun masih belum diterokai sepenuhnya masa ini.

“Kami optimis jualan RM3 juta itu mampu dicapai kerana potensi kraftangan terbabit ditambah peningkatan jumlah penyertaan usahawan daripada 218 tahun lalu kepada 256 tahun ini,” katanya pada sesi lawatan media sempena Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014 di sini, semalam.

Acara tahunan memasuki penganjuran kali kelapan ini menghimpunkan usahawan kraftangan seluruh negara daripada lima bidang utama tekstil, hasil rimba, logam, seramik dan aneka kraf.

Ia menampilkan penggunaan produk merangkumi aspek tambah hias untuk seni binaan, hiasan dalaman dan luaran, dekorasi taman dan laman, kelengkapan rumah dan kediaman serta produk hadiah dan cenderamata.

Beliau berkata, pihaknya fokus kepada bidang hiasan dalaman dan seni taman bagi menghasilkan produk baru mampu menarik perhatian pengguna melalui kerjasama antara 51 pereka Kraftangan Malaysia dan pihak usahawan terbabit.

Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014 akan berlangsung dari 23 Oktober hingga 3 November mulai di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:07 AM