Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

PAHANG gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1, di tangan kelab Hong Kong, South China FC pada perlawanan terakhir pusingan pertama saingan Kumpulan G, di Stadium Darul Makmur, malam tadi. 

Selepas perlawanan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan pada awal permainan, skuad lawan bimbingan Mario Gomez membuka jaringan menerusi penyerang, Chan Siu Ki, menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-12, untuk menewaskan Khairul Azhan Mohd Khalid.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hasan yang turun tonggak utamanya, Matias Conti, Dickson Nwaekeme dan Mohd Fauzi Roslan yang belum sempat pulih dari kecederaan cuba bangkit dengan mengasak kubu pelawat, namun sepakan percuma oleh Hafiz Kamal pada minit ke-24 melambung tinggi.

Pada minit ke-37, tuan rumah sekali lagi hampir mencemaskan pelawat apabila sepakan pemain tengah Pahang, R Surendran, melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti tetapi tersasar ke kanan gawang.

Bersambung babak kedua, South China FC itu yang cemerlang dengan rekod tanpa kalah dalam kempen Piala AFC  dengan menundukkan wakil Filipina, Global FC, 6-1, kelab Myanmar, Yadanarbon FC (3-1), cuba menjarakkan kedudukan tetapi kedudukan 0 -1 kekal sehingga wisel penamat.

Selepas ini, kedua-dua pasukan akan bertemu semula pada perlawanan pertama, pusingan kedua saingan Kumpulan G di Hong Kong, 14 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 11:29 PM