HENDERSON jaring gol tunggal Liverpool.
AFP

Swansea: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers tegas mengatakan bahawa mereka bukan memburu kedudukan di tempat keempat Liga Perdana dan kemenangan ke atas Swansea kelmarin dilihat mampu menyuntik semangat Reds menjelang pertemuan dengan Manchester United, Ahad ini.

Jaringan tunggal Jordan Henderson membolehkan Reds menang 1-0 di Swansea dan kini hanya ketinggalan dua mata di belakang skuad kendalian Louis van Gaal di tangga keempat.

Reds kini sedar mereka mampu memintas United andai menang di Anfield hujung minggu ini dan selepas lima kejayaan secara berturut-turut, Liverpool sudah pasti mempunyai semangat yang cukup.

Mereka juga hanya ketinggalan empat mata di belakang pasukan di tangga kedua, Manchester City yang berdepan kekalahan mengejutkan ketika menentang Burnley hujung minggu lalu dan Rodgers yakin sasaran mereka bukan United semata-mata.

“Kami mahu menamatkan musim dengan sebaik mungkin. Semua orang bercakap mengenai kedudukan di tangga keempat tetapi tidak bagi saya,” kata Rodgers.

“Kami akan cuba melakukan yang terbaik dan keputusan perlawanan Manchester City hujung minggu lalu memberikan kami peluang untuk menamatkan saingan di tangga kedua.

“Justeru, mentaliti, kekuatan serta keyakinan yang kami ada ketika ini membuatkan kami mencari sasaran lebih realistik.”

Anak buah Rodgers itu tidak pernah tewas dalam aksi liga sejak dikalahkan di Old Trafford, Disember lalu dan pengurus itu menjadikan perlawanan berkenaan sebagai titik kebangkitan pasukannya.

“Ia adalah pasukan berbeza dengan mentaliti yang berlainan. Ketika itu kami bergelut untuk mencari jalan penyelesaiannya,” katanya.

“Terdapat ramai pemain baru dan perbezaan antara dulu dan sekarang amat berbeza. Ia adalah titik perubahan pasukan kami kerana kekalahan itu membuatkan kami lebih kuat ketika ini.”

Pemain tengah Henderson menjaringkan gol ketiga berturut-turut dalam aksi Liga Perdana tetapi gol yang dihasilkan kelmarin boleh dianggap didorong nasib gara-gara kesilapan pertahanan Swansea Jordi Amat.

“Ia kemenangan yang besar buat kami - sukar untuk menang di Swansea dan itulah sebabnya mengapa kami gembira.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:26 AM