London: Kelab Liga Perdana Inggeris yang semakin bergelut untuk kekal dalam saingan teratas, Sunderland menamakan bekas jurulatih Belanda Dick Advocaat (gambar) sebagai pengurus baru, semalam.

Sunderland pantas menamakan jurulatih baru selepas memecat Gus Poyet kelmarin berikutan kekalahan 4-0 di tangan Aston Villa. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan kelab, pengendali berusia 67 tahun itu akan membimbing pasukan untuk baki musim ini.

Pengerusi Sunderland Ellis Short berkata: “Dick mempunyai rekod pencapaian yang membanggakan dan beliau memiliki pengalaman mengendali pasukan di pelbagai peringkat. Sasaran kami hanya satu iaitu untuk melonjak ke kedudukan lebih baik dan semua pihak perlu bersatu menjalankan tanggungjawab itu.”

Advocaat berkata: “Sunderland adalah sebuah kelab besar dan saya tidak sabar untuk memulakan cabaran di situ. Kami akan menumpukan perhatian kepada perlawanan menentang West Ham United, Sabtu ini.”

Kekalahan di tangan Villa membuatkan mereka kini hanya satu mata mengatasi zon penyingkiran dan hanya menang sekali sepanjang 12 aksi liga.

Advocaat tidak pernah membawa pasukannya tersingkir ke liga bawahan tetapi beliau hanya mempunyai sembilan perlawanan untuk memastikan perkara itu tidak berlaku di Sunderland.

Beliau mempunyai latar belakang hebat apabila menang tiga gelaran liga bersama PSV Eindhoven, Rangers serta Zenit Saint Petersburg selain pernah menjulang Piala UEFA dan Piala Super UEFA pada 2008.

Beliau dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Serbia tahun lalu tetapi meletak jawatan selepas hanya empat bulan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:26 AM