Manila: Rating sokongan dan kepercayaan terhadap Presiden Filipina, Benigno Aquino menjunam ke tahap paling rendah sejak 2010 ekoran kemarahan rakyat terhadap operasi Mamasapano yang menyebabkan 44 anggota polis terbunuh.

Tinjauan pendapat terbaru oleh Pulse Asia mendapati, rating sokongan Aquino menjunam kepada 38 peratus pada Mac 2015 berbanding 59 peratus pada November 2014.

Rating kepercayaan beliau pula jatuh daripada 56 peratus pada suku terakhir tahun lalu kepada 36 peratus bulan ini.

“Ini kali pertama Aquino tidak mendapat majoriti dalam rating sokongan dan kepercayaan sejak tinjauan pendapat dilakukan terhadap beliau bermula pada Oktober 2010,” kata Pulse Asia.

Tinjauan pendapat itu meliputi seramai 1,200 responden di seluruh negara yang dijalankan pada 1 Mac hingga 7 Mac lalu.

Kajian itu dijalankan lebih sebulan selepas pertempuran berdarah di Mamasapano yang menyebabkan 44 anggota polis, 18 militan Islam dan lima orang awam terbunuh.

Aquino dikritik hebat kerana enggan bertanggungjawab dalam operasi berkenaan dan menuding jari kepada komander pasukan khas negara itu, Getulio Napenas.

Pada minggu lalu, Lembaga Siasatan Polis Kebangsaan Filipina (PNP) merumuskan bahawa Aquino memutus rantaian arahan apabila beliau berbincang terus dengan Napenas.

Aquino juga membenarkan Ketua PNP, Alan Purisima yang digantung tugas ketika itu terlibat dalam operasi itu.

Siasatan mendapati Aquino melangkaui Timbalan Ketua PNP, Leonardo Espina yang menjadi pegawai pemerintah, sebaliknya berbincang secara terus dengan Purisima yang juga rakan baiknya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:18 AM