POSTER Netanyahu dirosakkan berhampiran sebuah pusat mengundi di penempatan Yahudi di Tebing Barat, semalam.
AFP

Baitulmuqaddis: Berjuta-juta penduduk Israel keluar mengundi semalam dalam pilihan raya umum yang dianggap paling sengit antara parti pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan parti pembangkang.

Sebelum pengundian berlangsung Netanyahu cuba membuat rayuan terakhir dengan menolak pembentukan sebuah negara Palestin.

Tinjauan pendapat sebelum ini meramalkan parti Kesatuan Zionis yang berhaluan kiri bakal memenangi banyak kerusi.

Keputusan pilihan raya itu dilihat bakal menentukan prospek rundingan damai Asia Barat yang baru dan hubungan Israel dengan sekutu rapatnya, Amerika Syarikat yang kini berdepan masalah.

Seramai 5.8 juta penduduk layak untuk mengundi dalam pilihan raya Knesset atau Parlimen Israel ke-20 yang mempunyai 120 kerusi.

Pengundi mempunyai masa sehingga pukul 10 malam (4 pagi waktuMalaysia) untuk mengundi dan selepas tiga jam pusat pengundian dibuka sejumlah 13.7 peratus pengundi sudah melaksanakan tugas mereka.

Keputusan tinjauan pendapat selepas pengundi mengudi akan diumumkan beberapa minit selepas pusat pengundian ditutup sekali gus memberi gambaran awal berhubung keputusan pilihan raya berkenaan.

Sejumlah pengundi tiba awal di sebuah pusat pengundi di sini yang dihiasi dengan kain rentang dan bendera parti Kesatuan Zionis berwarna biru dan putih.

“Saya mahu lihat Netanyahu ‘hilang’ selepas ini.

“Isu paling penting adalah hubungan dengan Palestin,” kata seorang wanita berusia 50-an, Shulamit Laron.

“Sudah pasti saya mengharapkan perubahan tetapi saya meragui keadaan akan berubah,” tambahnya.

Di bandar Haifa yang menjadi penempatan penduduk Arab-Yahudi, seramai 50 orang berbaris di sekolah Ahmediya.

“Ini kali pertama saya melihat ramai penduduk di sini mengundi,” kata seorang penduduk Arab Israel, Ehab Hamam, 37.

“Bagi penduduk Arab di sini, mengundi dalam pilihan raya umpama menunjukkan hak bahawa kami wujud di sini,” jelasnya.

Proses pengundian semalam adalah pilihan raya umum ketiga sejak 2009 dan dianggap cabaran terbesar Netanyahu, 65, untuk kekal berkuasa bagi penggal ketiga berturut-turut.

Tinjauan pendapat terakhir mendapati pemimpin parti Kesatuan Zionis, Isaac Herzog memperoleh majoriti tiga hingga empat kerusi berbanding parti Likud pimpinan Netanyahu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:18 AM