RAZIP (kanan) yakin aksi persahabatan mampu tingkat keserasian pemain.
Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seramai enam pemain dari pasukan Liga Super dan Liga Perdana disenaraikan bagi menambah kekuatan skuad Harimau Muda B (Bawah-22) yang kini dalam fasa terakhir menjelang pusingan Kelayakan Piala AFC B-23 di Stadium Shah Alam bermula 27 Mac ini.

Skuad bimbingan Razip Ismail itu turut menyenaraikan bintang Selangor, Nazmi Faiz Mansor dan pemain muda pasukan Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) Ramzi Haziq Mohamad serta Shafiq Shaharudin.

Di samping itu, bekas tonggak pertahanan kental dari skuad Harimau Muda A Shahrul Saad yang kini mewakili FELDA United serta Farhan Roslan dan Raphi Azizan Mariappen dari Kedah turut berada dalam senarai 27 pelatih.

Selebihnya pemain daripada skuad yang menjuarai Piala Emas Bangabandhu 2015 di Bangladesh bulan lalu yang kini turut beraksi di Liga Singapura (Liga-S).

Sementara itu, khidmat pemain sayap berpengalaman Syahrul Azwari Ibrahim terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan biarpun dia sebelum ini antara pemain harapan.

Bagi memantapkan persediaan pasukan negara, skuad B-22 negara merangka dua aksi persahabatan menentang skuad B-20 Myanmar Khamis ini dan seterusnya skuad B-22 Myanmar, Ahad.

“Dua aksi persahabatan itu bakal menjadi landasan terbaik kami mencari keserasian pemain. Walaupun pemain luar yang dipanggil baru saja menyertai pasukan, saya yakin mereka akan cepat menyesuaikan diri,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Skuad negara diletakkan sekumpulan dengan pasukan gergasi Asia iaitu Jepun dan dua pasukan lain Vietnam dan Macau dalam kumpulan I.

Aksi pertama dalam kempen kelayakan itu menyaksikan skuad negara bakal bertemu Vietnam pada 27 Mac, Macau (29 Mac) dan terakhir menentang Jepun (31 Mac).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:24 AM