AFP

London: Jose Mourinho (gambar) menegaskan tidak akan wujud rasa selesa di Stamford Bridge walaupun Chelsea kini memiliki kelebihan enam mata berbanding pesaing terdekat di persada Liga Perdana Inggeris.

Anak buah Mourinho melebarkan pendahuluan berbanding pasukan di tangga kedua Manchester City selepas seri 1-1 dengan Southampton kelmarin dengan baki satu perlawanan dalam tangan.

Ketika masih berbaki sembilan perlawanan musim ini, gelaran selaku juara Liga Perdana seolah-olah sudah sah menjadi milik Chelsea kecuali kelab Stamford Bridge itu dilanda malapetaka.

Tetapi ketika Mourinho mendakwa anak buahnya berhak berada di kedudukan terkini, beliau pantas mengingatkan saingan masih lagi jauh serta terbuka.

“Saya sering berkata situasi kami jauh lebih baik berbanding awal musim. Tapi ia bukannya mudah. Setiap perlawanan sentiasa sukar,” kata Mourinho.

“Cuba ingat kembali dua perlawanan kami menentang Southampton. Dalam satu perlawanan, ada penalti yang tak sepatutnya diberikan. Dalam satu lagi, ada insiden sepatutnya diberikan penalti tapi tidak berlaku.

“Justeru, anda bercakap mengenai enam mata tapi kami hanya beroleh dua. Bagi saya, bahaya masih menanti kami tapi kami sentiasa bersedia.

“Kami belum selamat. Saya tidak fikir pemain saya juga memikirkan kami sudah menang. Saya tidak takut untuk menyatakan perkara itu.”

Cabaran Manchester City diburukkan dengan kekalahan di tangan Burnley, Sabtu lalu dan skuad Manuel Pellegrini itu kini hanya satu mata di atas Arsenal yang menduduki tangga ketiga.

Mourinho mengaku Arsenal pencabar sebenar mereka tetapi mempersoalkan sama ada anak buah Arsene Wenger mempunyai kebolehan untuk bangkit pada hujung musim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:21 AM