MOHAMED Fauzy (kanan) bersama Pengarah Evengreen Venues Sdn Bhd, Stephen Tew pada majlis pembukaan Circle K di Shah Alam.
Oleh Naqiukamil Abdullah
bisnes@hmetro.com.my


Shah Alam: Kumpulan Mofaz Sdn Bhd (Mofaz) menyasarkan pembukaan 500 rangkaian kedai runcit serbaneka 24 jam Circle K berkonsepkan pematuhan syariah yang pertama di Malaysia menjelang 2018.

Presiden Kumpulan Mofaz, Mohamed Fauzy Abdul Hamid berkata, untuk tujuan berkenaan pihaknya melabur RM500 juta dengan setiap cawangan memerlukan kos pelaburan kira-kira RM400,000.

“Ketika ini, Circle K memiliki 16 cawangan di seluruh negara dan kami menyasarkan 100 cawangan sehingga akhir tahun ini. Kami jangka setiap cawangan akan memperoleh pulangan modal dalam tempoh 36 bulan selepas beroperasi,” katanya ditemui pada majlis pembukaan cawangan ke-16 Circle K di Plaza Shah Alam, di sini.

Circle K (Malaysia) Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang di bawah kendalian Mofaz. Ia berperanan sebagai pemegang francais induk dari Circle K Stores Inc (Amerika Syarikat) di seluruh negara.

Mohamed Fauzy berkata, Circle K yang mula beroperasi sejak Januari tahun lalu komited dalam usaha memberi perkhidmatan unggul serta halal dan membantu masyarakat tempatan khususnya pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk mereka di dalam premis berkenaan.

“Circle K (Malaysia) komited menjadi kedai serbaneka 24 jam pertama di Malaysia mengikut pematuhan syariah apabila semua barangan yang dijual dalam premis ini adalah barangan halal dan tiada langsung minuman keras.

“Barangan yang dijual mestilah mendapat sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), malah kami turun padang melawat kilang atau tempat pembuatan produk berkenaan sebelum ia memasuki premis untuk pasaran bagi memastikan unsur was-was tidak wujud,” katanya.

Menurutnya, Circle K akan menjual produk PKS yang terbaik di setiap negeri dan sebagai contoh, Terengganu popular dengan penghasilan keropok ikan, jadi, produk berkenaan akan terdapat di premis ini.

“Ia memberi identiti tersendiri kepada Circle K di samping memberi kemudahan terutama pelancong asing yang ingin mendapatkan produk terbaik di setiap negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:16 AM