Faizal Tahir
Forteen
KeQing
An Honest Mistake.
Paperplane Pursuit dan KeQing
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Ribuan pengunjung membanjiri pekarangan tempat letak kenderaan Stadium Bukit Jalil untuk Konsert Best Bersama ‘A’ Music Festival, malam Sabtu lalu.

Acara anjuran Samsung Galaxy A dan rangkaian radio Media Prima itu menyaksikan gabungan pelbagai genre muzik daripada 10 penyanyi hebat tanah air.

Ia sempena pelancaran telefon pintar Samsung Galaxy A dan menampilkan gandingan tiga penyampai radio dari Fly FM, Hot FM dan One FM, selaku pengacara konsert.

Tirai konsert dibuka tepat jam 9 malam dengan persembahan Beatbox daripada Beatboxer nombor satu di Asia, Shawn Lee. Selebriti itu menghiburkan penonton dengan beberapa lagu antaranya Havoc dan Uptown Funk.

Seterusnya, Shawn berganding dengan bintang sensasi Youtube, Najwa Latif untuk persembahan berduet dalam lagu Lil Wayne yang berjudul How To Love.

Selesai lagu itu, Najwa mendendangkan lagu Hilang diikuti single terbaru Suatu Hari Nanti.

Najwa memberitahu penonton single nukilan Alyph Sleeq itu akan dikeluarkan pada hujung bulan ini.

Pentas kemudian diserahkan kepada kumpulan Forteen yang menyampaikan dua lagu iaitu Tidak Pernah Berjumpa dan Linangan Terakhir.

Acara diikuti dengan persembahan bertenaga kumpulan pop punk, An Honest Mistake.

Kumpulan itu turut berduet dengan Liyana Fizi dalam lagu You Know. Liyana pula mendendangkan dua lagu berjudul Blindfold dan Doa Untuk Kekasih.

Penonton bersorak apabila tiba giliran penyanyi Cina terkenal Juztin Lan dan KeQing untuk membuat persembahan.

Seterusnya, kemunculan kumpulan pop elektro Paperplane Pursuit yang menyampaikan single popular Feel Good dan Beat Of Your Love.

Kemuncak acara tiba dengan persembahan kumpulan Hyperact yang menghiburkan penonton dengan lagu hit Hanya Aku dan Impian.

Selepas hampir dua jam berlangsung, konsert melabuhkan tirai dengan persembahan terakhir daripada penyanyi terkenal Faizal Tahir.

Penyanyi dan komposer terkenal tanah air itu menyanyikan single terbarunya Assalamualaikum dan Selamat Malam.

Sebelum menamatkan acara, pengacara dan barisan artis turut mengajak penonton mengambil gambar ‘wide wefie’ menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy A.

Sementara itu, Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Anida Tahrim berkata, sebagai penyokong industri seni tempatan, pihaknya akan sentiasa memastikan jenama syarikat seiring dengan teknologi untuk menyediakan pengisian muzik terbaik kepada pendengar.

“Menerusi konsert ini, pihak kami dapat menyediakan platform kepada penyanyi tempatan dari pelbagai genre muzik untuk berkarya di pentas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:10 AM