GAYA vogue dan seksi.
BERDUET dengan Trey Lorenz.
DIBANTU penyanyi latar dari New York.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Jika nak diikutkan, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bukanlah gelanggang asing buat diva terkenal, Mariah Carey kerana pernah mengadakan konsert pertamanya, An Intimate Evening with Mariah Carey Charmbracelet World Tour di lokasi sama pada 2004.

Cuma apa yang membezakan, konsert keduanya sempena siri jelajah berjudul 'The Elusive Chanteuse' Show Tour In Malaysia 2014, Mariah, 44, mengadakan persembahan dalam suasana basah kerana hujan turun tidak berhenti sepanjang dua jam konsertnya berlangsung pada malam kelmarin.

Namun demi menyaksikan diva pop kesayangan mereka mengadakan persembahan dari dekat, hampir 12,000 peminat sanggup berhujan dan membanjiri Stadium Merdeka, sejak jam 6 petang lagi.

Rata-rata peminat bagaikan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing di padang yang basah di hadapan pentas utama dengan memakai baju hujan sepanjang konsert yang bermula pada jam 9.15 malam sehinggalah persembahan berakhir pada jam 11 malam.

Konsert ini dianjurkan oleh IME Productions dan disokong Malaysia Major Events.

Berbanding konsert pertamanya di negara ini lebih sedekad lalu, kali ini, penyanyi hebat itu tampil dengan perubahan fizikal yang lebih berisi sesuai dengan statusnya yang sudah bergelar ibu kepada dua cahaya mata.

Penyanyi ini juga nampaknya sukar untuk dipisahkan dengan imej seksi yang memang sudah cukup sinonim dengan dirinya, sejak dulu. Lebih menarik, penyanyi hebat itu turut menyanyi sambil menayangkan klip video dua anak kembarnya, dari babak perang dan sebagainya lagi.

Bukan saja tampil seksi dan menawan dengan menukar pakaian sebanyak lima kali, 'aksi comelnya' menyanyi sambil duduk di atas piano turut menarik perhatian penonton yang turut bersorak setiap kali penyanyi ini muncul di pentas.

Menyusul selepas konsertnya di Kuala Lumpur, Mariah akan meneruskan konsert siri jelajahnya di Singapura, Filipina, Australia dan New Zealand. Sebelum mengadakan konsertnya di Kuala Lumpur, Mariah terlebih dulu menjayakan konsert di Tokyo, Jepun dan lima bandaraya di China.

Ubat kerinduan peminat

Berbeza daripada konsert pertamanya, kali ini, Mariah menghiburkan peminatnya dengan rangkaian 19 lagu hitsnya termasuk bingkisan album studionya yang ke-14.

Rangkaian lagu yang disampaikan Mariah pada malam itu ialah 110th St, Fantasy, Touch My Body, Shake It Off, Emotions, Cry, Fly Like A Bird, Lullaby of Birdland, My All, Heartbreak/Beautiful, That Chick, Honey Video Into Honey, I'll Be There, Thirsty, Meteorite, Hero, Supernatural, We Belong Together dan Always Be My Baby (encore).

Dari segi vokal, Mariah yang pernah dikritik kerana gagal membawakan lagu bernada tinggi dalam siri jelajah di Tokyo sebelum ini, ternyata lebih banyak improvisasi dan 'ad-lib' dalam persembahannya pada malam itu.

Paling ketara, ketika dia menyampaikan lagu popularnya, My All kerana lenggoknya tidak seperti dalam album. Namun, identiti 'dolphin's voice'nya tetap kekal ketika menyampaikan lagu hitnya, Emotion pada malam itu. Pada masa sama, ramai peminat yang seolah-olah tidak puas menyaksikan konsert Mariah pada malam itu kerana pemilihan lagunya lebih banyak daripada bingkisan album barunya itu.

Ia mungkin selaras dengan objektif siri jelajah ini yang juga sebahagian daripada inisiatif penyanyi itu untuk mempromosikan album terbarunya, Me. I Am Mariah... The Elusive Chanteuse yang dipasarkan Mei lalu.

Walaupun persembahan pada malam itu sudah sampai kemuncaknya dengan keadaan pentas sudah digelapkan, penonton tetap sabar menunggu penyanyi itu muncul kembali untuk menyampaikan lagu terakhirnya, Always Be My Baby sekali gus menutup tirai persembahannya pada malam itu.

Secara keseluruhannya, konsert Mariah pada malam itu tetap berjaya mengubat kerinduan peminat setianya yang sudah lama menanti diva ini kembali beraksi di negara ini selepas sedekad lalu.

Kali terakhir, bekas juri program realiti American Idol ini muncul dengan album penuh ialah menerusi Memoirs of an Imperfect Angel pada 2009.

Sebagai diva tersohor, Mariah adalah artis wanita paling laris sepanjang masa dengan lebih daripada 250 juta album terjual sehingga ke hari ini serta lagu ciptaannya menduduki carta teratas Billboard sebanyak 18 kali, termasuk Fantasy, Always Be My Baby, Hero, Touch My Body, One Sweet Day, Without You dan We Belong Together.

Penghibur, penulis lagu dan penerbit yang sudah 25 tahun berkecimpung dalam industri muzik ini turut diiktiraf dengan lima Anugerah Grammy, sembilan Anugerah Muzik Amerika, Artis Sedekad (Anugerah Billboard), Anugerah World Music (kategori Artis Wanita Milenium dengan jualan terunggul serta Anugerah Ikon BM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:03 AM