FOTO ihsan PPM Wilayah 2
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seramai 69 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 54 tahun diberkas oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 2 dalam Ops Landai yang dijalankan di kawasan pantai Mados Bandar Penawar Kota Tinggi kira kira 11 malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua PATI terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.

Katanya, PATI terbabit merancang untuk menyusup keluar secara haram dari negara ini menggunakan bot pancung melalui laluan yang tidak diwartakan.

"PATI berkenaan terdiri daripada 59 lelaki dan 10 perempuan dewasa ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

"Ops Landai dijalankan dengan kerjasama 10 anggota PPM Pengerang dan PATI terbabit didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 4:05 PM