Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my

 

Seremban: ”Kami akui terkilan gagal memanfaat kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencipta kemenangan ke atas T-Team, malah kegagalan itu menyebabkan kedudukan pasukan di puncak liga turut terjejas,” kata kapten pasukan Negeri Sembilan (NS) Matrix, Rezal Zambery Yahya.

NS Matrix kini menduduki tangga keempat carta Liga Perdana selepas mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri.

Bagi Rezal Zambery, kekalahan itu perlu dijadikan pengajaran berguna buat pemain skuad berkenaan untuk tidak lagi mengulangi kesilapan kerana ia akan meletakkan pasukan Hoben Jang Hoben di laluan sukar dalam memburu kejuaraan liga musim ini.

Dia mengakui persembahan yang dipamerkan pasukan pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, itu bukan pada tahap keupayaan sebenar, apabila banyak kesilapan dilakukan sehingga memberi peluang kepada pemain lawan mencipta jaringan.

“Kami banyak melakukan kesilapan hingga dihukum lawan. Biarpun berjaya menjaringkan tiga gol, namun tidak cukup untuk mengikat T-Team yang tampak beraksi lebih hebat.

“Ia pengajaran berguna kepada kami untuk memastikan lebih fokus pada perjuangan, agar hala tuju pasukan tidak tersasar,” katanya.

Perancang berpengalaman berusia 36 tahun itu berharap rakan-rakan dapat melupakan segera kekecewaan itu dengan memberikan fokus kepada saingan berikutnya menentang Pulau Pinang, dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, di gelanggang sama, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:31 AM