HARUN dikenali melalui drama Cikgu Limau Kasturi. Elias (kanan) mempunyai suara sama dengan Ahmad Jais.
KENANGAN Afdlin ketika bersama Harun menjayakan Maharaja Lawak Mega.
HARUN bersama pelakon Rumah Kedai yang popular satu ketika dulu.
DJ Dave melawat Elias ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), bulan lalu.
Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Ahad lalu, kita dikejutkan dengan berita kematian pelakon dan pelawak terkenal, Harun Salim Bachik, 55, yang rebah ketika singgah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Bukit Merah, Perak dan meninggal dunia kira-kira jam 4.20 petang.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhatul Sakinah Batu Muda, Batu Caves, Selangor jam 11 pagi esoknya.

Awal pagi Isnin juga, sekali lagi kita dikejutkan dengan berita kematian penyanyi Elias Shah, 55, yang meninggal dunia di Hospital Seri Manjong, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah malam. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Titiwangsa pada hari sama, jam 10.30 pagi.

Harun atau Haron Aminar Rashid Salim mula dikenali melalui drama bersiri popular awal 1990-an, Rumah Kedai dan mantan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) turut membina nama melalui sitkom bersiri Gado-Gado.

Selain berlakon, Harun pernah menghasilkan album Belilah pada 1996. Antara lagu popularnya ialah Banjir yang diinspirasi daripada insiden banjir kilat yang sering berlaku di Kuala Lumpur waktu itu.

Biarpun digelar pelawak, anak kepada pelakon veteran 1950-an, Salim Bachik ini juga pelakon yang berkarakter dan menang anugerah Pelakon TV Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2001 menerusi drama Hangatnya Salju Dinginnya Bara.

Malah, telefilem Cikgu Limau Kasturi memegang watak guru bahasa Inggeris bernama Cikgu Halim pada 1989 turut meninggalkan kesan kepada peminat sehingga kini.

Akhir-akhir ini namanya dikenali apabila menyertai Maharaja Lawak Mega 2013 bersama Afdlin Shauki melalui kumpulan Boboi dan menang tempat kedua.

Afdlin menyifatkan Harun sebagai sahabat yang baik dan berbakat selain sangat terkesan dengan pemergian sahabat gandingannya.

Lebih mengejutkan kerana Afdlin baru berjumpa Harun dua hari sebelum pemergiannya dan sempat bergurau seperti pertemuan sebelum ini. Afdlin turut berkongsi gambar terakhirnya bersama arwah di laman sosialnya.

Mereka sempat bertepuk bertampar dan bergurau senda. Harun turut melahirkan rasa gembira dengan projek terbaru mereka di Istana Budaya nanti.

Mereka juga berbincang mengenai hala tuju Boboi untuk terus berkembang di masa akan datang dan beliau akan cuba memastikan segala yang dirancang berjaya dilaksanakan.

Afdlin turut berbincang mengenai keputusannya untuk tidak lagi tampil sebagai watak Datin Maimon selepas mendapat nasihat Mufti Perak.

Kata Afdlin, mereka memang rapat dan berkongsi tarikh lahir yang sama pada 19 Mei serta mempunyai matlamat hidup sama iaitu untuk memartabatkan bidang komedi.

Hampir semua filem terbitan dan arahan Afdlin turut menampilkan Harun sebagai pelakon. Antaranya Baik Punya Cilok, Apa Kata Hati, Cuci dan Papadom.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Suriati Mohd Nor, enam anak dan tiga cucu, dalam perjalanan pulang bersama keluarganya dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri satu majlis perkahwinan. Mereka sekeluarga berhenti di R&R Gunung Semanggol, Bukit Merah untuk mengisi minyak sebelum Harun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia.

Anak ketiga Allahyarham, Ikram Al Rashid, 26, berkata, ayahnya sudah lama menghidap asma dan penyakitnya semakin teruk sejak kebelakangan ini.

“Saya tak sangka dia akan meninggalkan kami sekeluarga secepat ini kerana keadaan­nya sihat ketika kali terakhir kami bertemu,” katanya.

Anak kedua, Danial Al-Rashid, 29 mengakui satu sebab kesihatan arwah terjejas kerana terlalu kuat bekerja.

Katanya, penyakit asma yang dihidapinya sejak lima tahun lalu dilihat semakin menjadi-jadi selepas menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013 dan sering mendapatkan rawatan di hospital.

“Kami pernah menasihatinya supaya berehat tapi ayah memberi alasan akan memperlahankan aktiviti seni tahun ini,” katanya.

Sementara itu nama Elias Shah, 56, mungkin asing dalam kalangan peminat muzik tanah air era ini tetapi bagi peminat muzik era 1980-an, lagu seperti Cenderawasih dan Kenangan Mengusik Jiwa pasti terngiangngiang saat berita kematian Allahyarham sampai ke pengetahuan.

Penyanyi yang sinonim memiliki suara mirip Datuk Ahmad Jais ini memang meminati penyanyi itu sejak kecil dan pernah berduet bersama-sama.

Ia bukan perkara baru kerana kelunakan suara Elias menarik perhatian berikutan persamaan suaranya menyanyikan lagu Ahmad Jais sehingga pendengar tidak dapat membezakannya.

Malah dalam setiap album dihasilkan, sekurang-kurangnya satu lagu Ahmad Jais akan dimuatkan di dalamnya. Antara album dihasilkan ialah Kehancuran (1984), Siaplah Aku (1988), Kembalilah Sayang (1989), Dangdut (1994), Irama Dangdut 60an (1992) dan Zapin Berdayung (2003).

Walaupun berhenti menyanyi di lounge, Elias masih tidak putus rezeki dengan setiap jemputan. Terbaru, Allahyarham sepatutnya menjadi penyanyi jemputan

bersama beberapa rakan seangkatan iaitu Ibnor Riza, Salwa Abdul Rahman, Jay Jay, Rahmad Mega dan Ayai Ilusi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 Mac.

Ibnor yang juga teman rapat arwah mengakui terkejut dengan kematiannya. Apatah lagi kebetulan mereka berdua sepatutnya berkongsi pentas selama tiga hari di PWTC dari 13 hingga 15 Mac ini (hari ini).

“Nampaknya, saya terpaksa bersendirian di pentas tanpa arwah. Arwah senang didekati, ceria tapi pemalu apabila di pentas.

“Arwah hanya suka menyanyi tapi jarang bercakap. Kalau suruh menyanyi terus di pentas, dia boleh lakukan tanpa halangan,” katanya.

Penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah itu akui sering berkunjung ke Kelab Sultan Sulaiman menyaksikan persembahan Elias setiap malam, satu ketika dulu.

Malah, mereka turut mempunyai lagu duet kenangan bersama, Jumpa Mesra dipopularkan Ahmad Jais.

“Setiap kali ada persembahan makan malam, lagu itu menjadi lagu wajib kami berdua menyanyikan bersama untuk menghiburkan penonton.

“Kami ada perancangan menghasilkan album bersama, tapi nampaknya impian itu terkubur bersama ketiadaan arwah,” katanya.

Kali terakhir mereka berduet kira-kira dua bulan lalu di satu majlis tertutup. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sharifah Hamidah Syed Hamid dan empat anak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:09 AM