Susunan Shakilawati Abd Rahman
shakilawati@hmetro.com.my


Kisah dongeng Cinderella sangat dekat di hati kanak-kanak seluruh dunia. Tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama, ramai anak kecil berharap hidup mereka seindah puteri idaman itu apabila dewasa kelak.

Tidak terkecuali, bintang muda mula dikenali menerusi siri popular Downton Abbey, Lily James, 25, turut menyimpan impian serupa ketika kecil dulu.

Siapa sangka, ‘mimpinya’ menjadi kenyataan apabila dipilih melakonkan watak Cinderella dalam filem garapan Ken Branagh yang menjengah pawagam seluruh negara Khamis lalu. Ia sesuatu di luar jangkaannya.

Dilahirkan di Surrey, England pada 5 April 1989, Lily atau nama sebenarnya Lily Chloe Ninette Thomson rasa bertuah melakonkan watak puteri idaman ramai itu.

Pada mulanya dia menghadiri uji bakat untuk watak seorang daripada kakak tiri, namun turut mencuba karakter Cinderella apabila diminta pihak produksi.

Selepas melalui proses panjang empat sesi uji bakat, Lily berjaya memikat hati Branagh, sekali gus menewaskan calon lain. Katanya, persaingan sangat sengit hingga tidak percaya dia terpilih untuk watak ini.

“Saya masih ingat lagi dalam satu uji bakat, saya disolek dan diminta pakai kostum serta perlu berdialog dengan tikus.

“Selepas percubaan itu, satu lagi uji bakat dan terakhir saya perlu berlakon dengan Branagh yang memegang watak putera raja.

“Apabila dimaklumkan dapat watak itu, saya berasa takut. Maklumlah, Cinderella bukan calang-calang karakter. Setiap individu ada persepsi tersendiri terhadap Cinderella, tidak kira sama ada dalam buku cerita mahupun filem animasi.

“Saya risau jika tidak mampu menzahirkan karakter ini dengan baik atau menjadikan ia terlalu sempurna hingga tidak boleh diterima penonton. Namun Branagh berusaha menyakinkan saya mampu melakukannya dan berasa lebih yakin selepas itu,” katanya.

Sebelum penggambaran, Lily belajar menunggang kuda selama enam minggu dan turut mengamalkan gaya hidup sihat, berjinak-jinak dengan yoga bagi mendapatkan postur tepat serta melakukan banyak penyelidikan bagi membentuk keperibadian yang baik.

“Saya membaca buku beberapa tokoh disegani dunian termasuk Mahatma Gandhi yang dapat menangani kehidupan dengan cara yang saya tidak mampu melakukannya.

“Demi memastikan watak Ella (Cinderella) nampak realisitik dan melekat di hati penonton, saya tidak kisah meletakkan lebih usaha kali ini.

“Cinderella digambarkan penuh dengan kebaikan dan unik. Malah, produksi mencipta satu piawaian baru melangkaui kisah dongeng sedia ada.

“Watak Cinderalla diperindahkan lagi dengan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang puteri, bahkan karakter lain turut diberi peluang untuk berkembang. Saya suka dengan keputusan Branagh mengekalkan penceritaan mewah dengan unsur magis,” katanya.

Cinderella mengisahkan Ella, gadis kematian ibu ketika masih kecil. Sebelum ibunya meninggal dunia, dia berjanji akan membesar sebagai gadis berani dan berhati murni.

Apabila bapanya berkahwin baru dan meninggal dunia tidak lama kemudian, Ella diseksa ibu tiri namun masih berpegang teguh dengan janjinya. Takdir menemukannya dengan putera raja dan hidup bahagia selama-lamanya.

Kata Lily, intipati filem ini mengenai kekuatan semangat Ella dan bagaimana dia mengekalkan kebaikan dan sentiasa bersikap positif walaupun dilayan buruk keluarga tirinya.

“Ia bukan sekadar mengenai Cinderella diselamatkan putera tetapi mengenai dua insan yang saling melengkapi dan mempunyai keberanian mengekalkan kebaikan dalam diri serta hidup bahagia selama-lamanya. Ia sarat dengan pengajaran positif buat penonton, khususnya kanak-kanak,” kata­nya.

Lily turut berkongsi perasaan gembira dapat beraksi di samping idolanya, Cate Blanchett dan menyifatkan pelakon itu sebagai wanita hebat dan sangat versatil.

Sikap profesional aktres tersohor itu banyak memberi inspirasi kepadanya sepanjang menjayakan pengambaran filem Cinderella.

“Dia sangat berwibawa. Melihat caranya menghidupkan watak ibu tiri, kita dapat memahami mengapa bapa Ella jatuh cinta dengannya.

“Dia sangat cantik dan glamor. Di sebalik penampilannya yang menawan, Cate berjaya menyerlahkan sifat kejam yang boleh buat kita berasa gerun.

“Saya juga seronok dapat bekerja dengan Holliday Grainger dan Sophie McShera yang memegang watak Anastasia dan Drisella, kakak tiri Cinderella. Awal penggambaran, saya banyak beraksi seorang diri dan pastinya kemunculan mereka di lokasi menggembirakan saya.

“Bagi saya, Cinderella tidak pernah membenci Anastasia dan Drisella, tetapi dia tidak memahami mereka yang tidak pernah gembira dengan kehidupan dan sangat mementingkan diri serta kelakar dalam sesetengah keadaan,” katanya yang turut serasi berganding dengan Richard Madden sebagai putera raja.

Filem ini bukan saja memaparkan jalan cerita menarik tetapi set penggambaran juga indah, termasuk dewan utama istana serta kediaman Ella. Ia tidak ubah seperti kisah fantasi yang selalu dibayangkan Lily ketika zaman kanak-kanak.

Mula dikenali di layar perak melalui filemWrath Of The Titans pada 2012, Lily yakin penonton akan jatuh cinta dengan pemandangan indah yang disajikan dalam filem ini.

Lokasi luar seperti padang rumput sangat mengasyikkan dengan bunga berwarna-warni tumbuh meliar dan ada debunga terbang dibawa angin. Kambing biri-biri, angsa dan kuda berlari-lari di padang.

“Begitu juga dengan dewan utama istana. Branagh mahu bina dewan indah yang tidak terbayang oleh sesiapa dan ia berjaya direalisasikan Dante Ferretti. Ada lampu candelier besar, orkestra besar dan dipenuhi hiasan mewah.

“Kereta kuda dinaiki Cinderella juga diperbuat daripada bola emas berbentuk labu yang sangat cantik dan ditarik empat kuda putih. Semua itu sungguh mengasyikkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:07 AM