Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my

Seremban: Kedudukan Negeri Sembilan (NS) Matrix di tangga teratas carta Liga Perdana tidak bertahan lama apabila rekod tanpa kalah pasukan itu lebur selepas tewas kepada T-Team 5-3, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Kekalahan itu membuatkan NS Matrix jatuh ke tangga keempat liga selepas pencabar terdekat mereka menang dalam aksi masing-masing.

Strategi T-Team yang melakukan serangan pantas ke kubu tuan rumah berhasil apabila pertahanan NS Matrix dilihat kerap kali hilang bola.

NS Matrix bermula dengan beberapa gerakan untuk menguji benteng lawan tetapi percubaan barisan depan khususnya menerusi Francis Forkey Doe, tersasar.

Tuan rumah tersentak seawal minit keenam apabila Mohd Nor Hakim memperdayakan tiga pemain pertahanan NS Matrix sebelum menjaringkan gol pertama T-Team menerusi rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias.

Sadriddin Abdullaev menggandakan kelebihan pelawat menerusi gol kedua pada minit ke-23 dan jaringan itu membuatkan barisan anak buah K Devan menggandakan asakan ke kubu lawan.

Forkey Doe berjaya merapatkan jurang menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol T-Team Mohd Shahril Saari pada minit ke-26.

Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat babak pertama dan sebaik aksi bersambung, Farhod Tadiev bijak memperdayakan pertahanan NS Matrix untuk gol ketiga T-Team pada minit ke-46 sebelum Forkey Doe sekali lagi meledak jaringan untuk gol kedua tuan rumah, empat minit kemudian.

NS Matrix yang berusaha keras untuk menyamakan kedudukan menerusi serangan bertali arus tidak berhasil sebaliknya Mohd Nor Hakim terus menekan tuan rumah menerusi jaringan kedua peribadi dan keempat pelawat pada minit ke-60.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:04 AM