YAMAHA MT-09.
PANDANGAN belakang yang unik.
BREK cakera berkembar.
SUSPENSI yang mampu mengurangkan rasa gegaran.
PERUMAH lampu belakang.
METER kelajuan digital.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Ini kali kedua penulis diberi peluang menunggang model berbeza motosikal berkuasa tinggi sejak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menembusi pasaran dalam segmen berkenaan, hampir empat tahun lalu.

Kali pertama penulis menguji jentera berkuasa tinggi HLYM menerusi Yamaha XJ6 Diversion sebelum diberi peluang menunggang Yamaha MT-09 generasi terbaru.

Jelas pertemuan kali pertama ‘kami’ dianggap kurang baik kerana penulis terpaksa meredah hujan lebat untuk mengambil jentera tunggang uji itu di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Sejuk dan basah tidak sedikit pun melemahkan penulis, malah semakin bersemangat untuk menguji jentera dengan moto ‘Discover Your Darker Side’ yang mempunyai karakter agresif, terutama penampilannya.

Yamaha MT-09 dibangunkan untuk pasaran Eropah dan mula merebak ke benua lain, sekali gus memberi saingan dalam segmennya.

Perwatakan agresif itu turut memberi lembaran baru kepada pengeluarnya serta menawarkan pilihan berbeza kepada penggemar motosikal berkuasa tinggi.

Bagi orang baru dalam menguji jentera berkuasa tinggi, pengendalian Yamaha MT-09 tidak terlalu sukar.

Ini berikutan ia menggunakan kerangka baru Diamond untuk mendapatkan jumlah berat badan rendah sehingga 188 kilogram (kg), lebih ringan daripada jentera naked Kawasaki Z800 sebanyak 41 kg, malah sedikit berat lima kg daripada Triumph Street Triple 675.

Jentera yang lebih ringan itu didorong selepas menggunakan casis dan roda aluminium serta memberi kelebihan pengendalian lebih baik serta tepat di selekoh.

Penulis akui, jentera ini tangkas sebaik memulas pendikitnya tetapi perlu berhati-hati ketika mengawal pendikitnya kerana ia menggunakan sistem ‘ride-by-wire’ yang sensitif.

Bagi memberi penyesuaian cara tunggangan, jentera itu didatangkan dengan tiga mod iaitu A, Standard dan B.

Mod A untuk tunggangan paling agresif, Standard untuk keadaan biasa dan B lebih mudah untuk dikendali.

Sepanjang menguji jentera itu, penulis lebih banyak membawanya di kawasan bandar dan sesuai dengan menggunakan Mod Standard atau B.

Cuma Mod B, kuasa dibekalkan rasa berkurangan dan tidak sesuai bagi mereka dalam kategori ‘kaki pecut’.

Selepas puas menunggang beberapa hari di kawasan bandar, penulis menguji jentera ini di lebuh raya dengan menukar kepada Mod A untuk memberi prestasi sepenuhnya daripada enjin tiga silinder sebaris bersesaran 847cc.

Ternyata mod itu memberi perubahan kepada pendikitnya yang bertindak balas secara agresif untuk penulis memecut pada kelajuan maksimum.

Ternyata kuasa dibekalkan tidak memerlukan penukaran gear lebih rendah dan memadai menggunakan gear enam atau lima untuk memecut dari 100-190 km/j.

Cuma jentera ini kurang sesuai untuk kelajuan itu kerana bahagian depan lebih terdedah kepada angin dan menganggap ia bersesuaian bagi tunggang santai.

Paling menariknya, penulis rasa ia kurang gegaran pada RPM tinggi yang kerap menyeksakan penunggang motosikal berkuasa tinggi jika tunggangan jarak jauh.

Pemegang yang tinggi dan lebar, kedudukan penunggang menegak serta saiz tayar berpadanan 180/55ZR17 di belakang dan 120/70ZR17 bahagian depan menjadikan gaya tunggangan lebih yakin ketika mengendalikannya.

Penulis juga tidak perlu risau mengenai kuasa hentiannya kerana ia memberi cengkaman terbaik selepas padanan brek cakera terapung 298 milimeter (mm) dan kaliper empat piston pada roda depan.

Bagi penulis, prestasi kuasa dan keupayaan pengendalian menjadikan jentera yang bagus untuk dimiliki, selain berbaloi dengan harga ditawarkan.

INFO

YAMAHA MT-09

ENJIN: bersesaran 847cc DOHC, tiga silinder dan penyejukan cecair

KUASA MAKSIMUM: 114hp pada 10,000rpm

TORK MAKSIMUM: 87.5 Nm pada 8,500rpm

TRANSMISI: Enam kelajuan

BERAT: 188 kg

KAPASITI TANGKI PETROL: 14 liter

BREK HADAPAN: Cakera berkembar 298mm

BREK BELAKANG: Cakera tunggal 245mm

HARGA: RM54,000 model CBU, manakala RM45,000 model CKD (tidak termasuk insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:03 AM