Oleh Ustaz Haslin Baharin

Saya bekerja sebagai jurugambar profesional bagi majalah wanita. Mengambil foto wanita tidak menutup aurat dengan sempurna antara tanggungjawab saya. Apakah pendapatan yang saya terima haram kerana memaparkan foto wanita yang mendedahkan perhiasan mereka?

- Tiada masalah pada pekerjaan dan perkhidmatan saudara kepada majalah wanita itu. Masalah yang timbul adalah gambar dan saudara sendiri yang melihat.

Hukum melihat aurat bagi wanita luar atau dalam gambar adalah sama. Hukum bagi wanita mendedahkan aurat tetap haram.

Hukum bagi yang melihat adalah diharuskan selagi bukan aurat yang berat, tidak mendatangkan ghairah dan tidak disengajakan.

Ada ulama mengharamkan kerana ia membawa kepada permulaan zina sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kedua-dua mata dapat berzina, dan zina kedua-duanya adalah melihat. Kedua-dua telinga dapat berzina, dan zina kedua-duanya adalah mendengar. Lidah zinanya dengan bicara. Tangan zinanya dengan menyentuh yang haram. Kaki zinanya dengan melangkah ke tempat maksiat. Hati zinanya dengan berhasrat dan menginginkan. Dan kemaluan akan membenarkan atau mendustakannya.” (hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya di sinilah peranan saudara berdakwah. Jika ingin mengambil gambar perhiasan, tidak perlu kepada pendedahan aurat.

Sebagai cadangan, mungkin boleh digantung pada sudut atau tempat lebih sesuai dan lebih menarik dari mempergunakan tubuh wanita. Banyak lagi gambar saudara boleh ambil bagi menunjukkan kebesaran Allah.

Bagi rezeki yang diterima, adalah lebih baik saudara asingkan dan tidak menggunakannya kerana kurang keberkataannya. Sebalik boleh diberikan kepada fakir miskin atau baitulmal.

Jika saudara tergolong fakir dan miskin, boleh digunakan sekadar yang keperluan yang sangat penting (dhoruri-hidup/mati) saja. Bagaimanapun, bertakwalah pada Allah mengenai rezeki dari sumber yang diharamkan ini. ­Wallahualam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 1:33 AM