Oleh Dang Setia

Saya ada kembar yang jauh lebih cantik dan bijak. Kami satu sekolah tetapi berlainan kelas. Rakan serta guru tahu kami kembar. Itu membuatkan saya tertekan.

Saya kerap dibandingkan dengan kakak. Saya tidak suka tetapi tiada kuasa menghentikan orang terus membandingkan kami. Paling saya tidak suka apabila guru kerap membebel mempertikaikan sikap saya berbeza dengan kakak. Saya kadangkala melepaskan kemarahan itu pada kembar saya disebabkan hal itu.

Ini membuatkan hubungan kami tidak rapat tidak seperti kebanyakan kembar. Saya jadi ‘moody’ setiap kali bersamanya.

LIN, Kuala Lumpur

Pada Dang Setia, saudari perlu lebih bersedia dengan lebih banyak cabaran pada masa akan datang. Bukan ciri fizikal serta kebijaksanaan saja menjadi buah mulut orang dalam membandingkan saudari dan kembar, malah banyak perkara lagi saudari akan lalui.

Meskipun ramai menyukai pasangan kembar kerana ciri unik iaitu dua individu serupa, namun buat kembar itu sendiri, kembar pasti mengikat mereka dengan hal perbandingan. Ia akan menjadi dilema dan untuk mengatasinya saudari kena belajar mengawal diri dan menerima hakikat menjadi subjek perbandingan.

Bagi Dang Setia, saudari jangan memberi tekanan kepada kembar, sebaliknya perlu berkongsi rasa kerana saudari akan mendapat sokongan diperlukan, terutama daripada kembar sendiri.

Anggap itu dorongan serta persaingan sihat berbanding melihat kejayaan kembar sebagai ancaman. Selain itu serlahkan kelebihan diri supaya mereka melihat saudari sebagai individu yang ada keistimewaan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 1:20 AM