AHLI keluarga bersama kakitangan USM menyambut ketibaan jenazah Muhamad Izzamir Nabihan di Kompleks MAS Kargo, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Oleh Salman Hamat dan Syamimi Jamil
am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Universiti Sains Malaysia (USM) sedang menimbangkan untuk menganugerahkan Ijazah Anumerta kepada arwah Muhamad Izzamir Nabihan Abdul Majid, 23, pelajar yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Aceh, Indonesia, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata, perkara itu perlu dibincangkan oleh Senat untuk mendapatkan kelulusan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata, penganugerahan ijazah itu sebagai tanda pengiktirafan dan penghormatan kepada Muhammad Izzamir yang kini berada di tahun akhir, namun tidak sempat menamatkan pengajian selepas meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan itu.

“Kami akan menimbangkan penganugerahan ijazah ini dan ia bergantung kepada keputusan senat. Ijazah itu biasanya diberikan kepada pelajar yang sudah mengikuti pengajian pada tahap 70 peratus, namun gagal menamatkan pengajian akibat meninggal dunia.

“Arwah dijangka menamatkan pengajian dan mengikuti majlis konvokesyen pada September depan. Dia juga pelajar yang aktif dan sering terbabit dengan pelbagai aktiviti dianjurkan di kampus selain terkenal dengan sikap mesra dalam kalangan rakan di kampus serta pensyarah,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:33 AM