POSTER kempen parti Kesatuan Zionis dapat dilihat di Tel Aviv, semalam. Penduduk Israel akan mengundi memilih kerajaan baru 17 Mac ini.
Agensi

Baitulmaqdis: Hasil kajian pendapat terbaru yang diterbitkan semalam menunjukkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tercicir empat kerusi di belakang parti pembangkang berhaluan kiri-tengah, bebeberapa hari sebelum pilihan raya.

Menurut laporan yang disiarkan akhbar Yediot Aharonot, menunjukkan pencabar utama parti Likud, Kesatuan Zionis, memenangi 26 daripada 120 kerusi Parlimen, berbanding 22 untuk parti Netanyahu itu.

Menurut kajian membabitkan 1,032 responden oleh agensi kaji selidik Mina Tzemach, Joint List, pakatan yang baru dibentuk oleh parti utama Arab, berada di tangga ketiga dengan 13 kerusi.

Kajian yang dilakukan bersama akhbar Jerusalem Post dan Maariv juga menunjukkan jurang empat kerusi dengan Kesatuan Zionis dijangka memenangi 25 kerusi berbanding 21 untuk Likud.

Kajian membabitkan 1,300 responden itu juga menunjukkan Joint List akan memenangi 13 kerusi.

Kesatuan Zionis menggabungkan parti Buruh pimpinan Isaac Hertzog dan HaTnuah, parti berhaluan tengah yang diketuai Tzipi Livni, bekas ketua perunding Israel dengan Palestin.

Sistem pilihan raya Israel tidak menetapkan parti yang memenangi paling banyak kerusi akan membentuk kerajaan.

Parti yang kalah, jika boleh membentuk pakatan dan menguasai majoriti daripada 120 kerusi, juga berpeluang menubuhkan kerajaan.

Dalam pada itu, Netanyahu berkata, Israel berdepan dengan masalah keselamatan jika pembangkang menang.

Netanyahu juga berkata, dia tidak akan menyertai kerajaan perpaduan jika Likud kalah.

Kenyataannya itu sebahagian daripada taktik menakut-nakutkan rakyat Israel dalam usahanya menarik lebih banyak undi lima hari sebelum pilihan raya 17 Mac ini.

“Keselamatan Israel berdepan dengan ancaman jika kami kalah pilihan raya ini.

“Jika Likud kalah dan Parti Buruh menang, pemimpin Kesatuan Zionis Isaac Herzog dan Tzipi Livni akan bergilir-gilir menjadi perdana menteri dengan sokongan parti Arab.

“Ini akan menyebabkan perubahan besar dalam dasar dan ia mengancam keselamatan. Sesiapa yang mahu menghalangnya berlaku, perlu sokong Likud,” katanya kepada Jerusalem Post.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:17 AM