ANGGOTA bomba mengambil masa lima minit untuk memotong besi pagar. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Johor Bahru : Seorang remaja penghidap penyakit sindrom Down berusia 15 tahun cedera selepas kaki kirinya terperosok besi pintu pagar dalam kejadian di Taman Skudai Baru di sini, kira-kira 5 petang tadi.

Kejadian berlaku ketika remaja terbabit, Thien Kim Seng, 15, mahu bermain di luar namun dihalang ibunya sebelum dia mengambil keputusan memanjat pagar berkenaan ketika ibunya berada di dalam rumah.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulai, Ezam Mistorerrodin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Universiti bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian.

"Bomba sampai di tempat kejadian 10 minit kemudian dan mendapati remaja terbabit masih tersangkut di pagar rumahnya dengan lututnya masih tertusuk pada besi.

"Remaja berkenaan tidak menangis dan kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk memotong besi pagar berkenaan sebelum dia dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 7:24 PM