Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my


Kepala Batas: Universiti Sains Malaysia (USM) menimbangkan untuk menganugerahkan Ijazah Anumerta, kepada arwah Muhamad Izzamir Nabihan Abdul Majid, 23, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Acheh, Indonesia Rabu lalu.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman berkata, perkara itu akan dibincangkan oleh senat sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Penganugerahan ijazah itu adalah sebagai pengiktirafan kepada arwah yang kini berada di tahun akhir pengajiannya.

"Arwah juga adalah penuntut yang aktif dan banyak terbabit dengan aktiviti dianjurkan di kampus serta disenangi rakan dan pensyarah," katanya.

Beliau ditemui ketika melawat jenazah penuntut USM itu di rumah ibu saudaranya di Taman Abdullah Fahim, hari ini.

Omar berkata, 23 pelajar dan pensyarah yang terbabit dalam kemalangan sama dijangka tiba dari Acheh di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas (PIA) 3 petang ini menggunakan penerbangan Firefly.

"Sejurus tiba mereka akan menjalani pemeriksaan yang dilakukan pegawai perubatan USM untuk menilai tahap kecederaan dialami.

"Kami harap ibu bapa pelajar berkenaan memberi masa kepada pegawai perubatan melakukan pemeriksaan dan tidak panik kerana kesemua mereka dilaporkan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 1:16 PM