ROSLAN menyusun botel oren kampung hasil karyanya.
KASUT sekolah adalah metafora bagi menggambarkan kehidupan manusia.

Bunyi kaca berlaga tiba-tiba memecah suasana menyebabkan semua mata beralih ke arah bunyi itu.

Anehnya tiada satu kaca boleh dilihat tetamu yang hadir.

Hanya kelihatan seorang jurugambar memegang kameranya tercari-cari dari mana datangnya bunyi kaca berlaga itu.

Dia yakin bunyi itu kedengaran di hujung kakinya. Sedangkan di hujung kaki itu tersusun berpasang-pasang kasut sekolah berwarna putih.

Nampaknya percubaan si tukang kasut berjaya!

Tujuan untuk ‘menipu’ pengunjung dengan hasil sentuhan seninya berjaya. Rahsia terbongkar apabila pengunjung diberitahu 150 pasang kasut sekolah dipamer itu sebenarnya bukanlah getah, tetapi diperbuat daripada seramik.

Metafora kehidupan

Dr Shamsu Mohamad, si ‘tukang kasut’ memberitahu bahawa kasut adalah metafora yang digunakan bagi menggambarkan kehidupan manusia dalam pameran Earthworks di Galeri Petronas, KLCC.

Karya seni berjudul ‘Perjalanan’ (The Journey) milik Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM) itu adalah satu daripada enam pameran seni pembuatan seramik oleh pakar seramik terkenal di negara ini.

Earthworks, satu pameran yang provokatif oleh enam artis seramik Malaysia yang mencabar keterbatasan medium kraf seramik dengan menggabung teknik tradisional dengan nilai estetika dalam penghasilan kraf kontemporari.

Ia membawa satu transformasi terhadap kegunaan tanah liat, yang mampu menghasilkan objek kontemporari yang jarang dilihat seperti beg bimbit, kasut, cengkerang dan sayur-mayur.

Dr Shamsu misalnya memilih kasut sebagai metafora alam persekolahan kerana di situlah manusia melalui proses pembelajaran seawal usia mereka.

“Kasut sekolah yang dipakai saban hari memandu pelajar ke sekolah untuk menggali ilmu pengetahuan buat bekalan kehidupan. Pelbagai peristiwa pahit dan manis yang ditempuhi pelajar di alam persekolahan. Ada yang tercapai dan ada yang sebaliknya.”

Menurutnya, kasut sekolah juga adalah refleksi si pemakainya kaya dan miskin, pembersih dan pengotor, aktif dan pasif.

Pemasangan seramiknya menggunakan kasut sekolah daripada pelbagai reka bentuk, jenama dan saiz. Terdapat dua corak susun atur, pertama diatur secara berlonggok di atas lantai.

Ia menggambarkan mereka yang kurang dari segi ekonomi dan pencapaian akademik. Kasut yang ditampal di dinding secara menaik pula menggambarkan perjalanan hidup manusia dalam mencari bekalan untuk dunia dan akhirat.

Nilai sentimental

Seorang lagi pakar seramik yang terbabit dalam pameran Earthworks, Roslan Ahmad tampil dengan ‘Botol Oren Kampong’.

Roslan yang berpengalaman luas dalam pembikinan seramik membawa pengunjung meneroka ke dalam kenangan masa kecilnya.

Konsep mimesis Roslan adalah dengan susunan botol slip cast ‘Oren Kampong’. Iaitu minuman berperisa oren berkarbonat yang sangat popular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja daripada keluarga berpendapatan rendah di pertengahan 60-an.

“Ia mencetuskan nilai sentimental, dengan melihat botol ini, ia akan membawa balik cerita peribadi dan pengalaman lampau kerana saya terikat oleh ingatan zaman dahulu.

“Saya akan berjalan mencari botol kosong dan menjualnya, dengan wang diperoleh saya akan membeli untuk diri saya sebotol ‘Oren Kampong’ yang murah berbanding dengan Coca-Cola, Fanta, Seven Up dan jenama lain,” katanya.

Untuk karya itu, dia meneroka pelbagai kaedah termasuk Raku, pengasapan, pembakaran kayu dan glis Tomoku.

Setiap kaedah kemasan bertujuan untuk menyampaikan sensasi dan pengalaman berbeza juga untuk memberikan ciri-ciri khas bagi karyanya.

Satu daripada teknik digunakan Roslan ialah teknik salutan Raku dan pengasapan yang memprojekkan nilai emosi dengan rupa yang lama dan kusam.

Konsep mimesis

Pameran ini cuba mencabar pengkarya menggunakan konsep mimesis (peniruan) untuk mengkritik kehidupan harian manusia. Ia juga mempersoal sama ada nilai hasil seramik kontemporari berada separas dengan lain-lain objek pamer di muzium.

Barisan artis ini menghidang perspektif yang radikal dengan meneliti aspek taxanomi seni seramik kontemporari, sama ada sekadar hasil nukilan seni semata-mata atau sebagai objek pameran muzium.

Bergantung kepada subjek rujukan dan teknik memproses, mereka berupaya memberi pilihan yang luas dalam penghasilan pelbagai objek seni seramik yang mampu bertahan lama.

Empat artis lain ialah Dr Salwa Ayob dengan mimesis kelapa kutai, Mohamad Radzi Ismail siput dan cengkerang, Tan Vooi Yam dengan potret dan Awangko’ Hamda Pgn Arshad dengan mimesis beg bimbit.

Menurut Kurator Earthworks, Badrolhisham M Tahir, seramik tidak lagi digunakan sekadar menghasil bekas makanan dan minuman seperti yang dilakukan nenek moyang kita sejak beribu tahun yang lampau.

“Seni seramik tradisional lebih kepada kegunaan praktikal. Seni seramik moden pula lebih kepada bentuk luaran yang teguh dan tersendiri. Ia memiliki kebebasan tidak terkongkong, di samping memberi penekanan kepada usaha artis untuk bereksperimen dalam menggunakan tanah liat dan sepuhan.

Hasil seni ini mempamer fungsi asas diperlukan dalam menghasil seni seramik kontemporari serta menunjukkan daya kreatif medium tiga dimensi,” katanya.

Earthworks kini dibuka kepada umum sehingga 22 Mac 2015 dari Selasa hingga Ahad, jam 10 pagi hingga 8 malam di Galeri Petronas, Aras 3, KLCC. Masuk adalah percuma. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 1:01 PM