SUSPEK mati di tempat kejadian. FOTO Omar Osman
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Seorang penjenayah dalam buruan mati akibat ditembak polis dalam kejadian berbalas tembak di persimpangan lampu isyarat Bandar Laguna Merbok, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sedang melakukan rondaan di kawasan Sungai Petani.

Pasukan berkenaan kemudian terserempak dengan lelaki berusia 27 tahun sedang memandu kereta dalam keadaan mencurigakan lalu diarah berhenti bagi melakukan pemeriksaan.

Bagaimanapun, suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan dari dalam kereta menyebabkan pihak polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, mangsa mati di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala, dada dan bahu akibat terkena tembakan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam dua kes bunuh serta mencederakan orang di negeri ini dan polis sedang menyiasat sama ada lelaki itu turut terbabit dalam kejadian tembak di Bedong, di sini, baru-baru ini.

"Siasatan juga menemui sepucuk pistol semiauto 9mm berwarna hitam di dalam kereta terbabit dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut. Ia adalah kejayaan polis menumpaskan penjenayah paling dikehendaki sekali gus mampu menyelesaikan beberapa kes lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 9:39 PM