CHE Zahiruddin tiba di Dataran Lang setelah berkayak sejauh 2,000 selama enam bulan. Kayaknya turut dilengkapi alat Google Street View Trkker bagi merakam imeg persisiran pantai Semenanjung Malaysia. FOTO Shahrizal Md Noor
Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Pendayung solo Che Zahiruddin Che Othman, 20, yang menyertai misi 'Berkayak Untuk Alam Semula Jadi' sejauh lebih 2,000 kilometer selama enam bulan tiba di Dataran Lang, di sini, hari ini.

Beliau memulakan misi berkayak mengelilingi Semenanjung Malaysia dari Pengkalan Kubor, Kelantan sejak 9 September lalu.

Kayak digunakannya turut dilengkapi alat Google Street View Trekker seberat 65 kilogram bagi merakamkan imej pesisiran pantai sepanjang pengembaraannya.

Rakaman itu akan dimuat naik dalam aplikasi Google Street View.

"Ketika melakukan misi ini dari Kelantan ke Johor, ia dilakukan secara bergilir-gilir dengan beberapa sukarelawan.

"Saya mengambil alih misi ini dan berkayak secara solo dari Johor sebelum menyusuri pesisir pantai ke Utara Semenanjung dan tiba di sini (Langkawi), hari ini,” katanya.

Che Zahiruddin berkata, beliau menerima sokongan kuat dan berterusan daripada rakan-rakan dalam Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) sekali gus membolehkannya mengharungi cabaran sebelum tiba di Langkawi.

"Antara kenangan pahit... saya pernah terperangkap dalam lumpur selama limajam sebelum keluar semula apabila air pasang ketika di perairan Johor.

"Selain itu saya juga teruja apabila dikelilingi ikan lumba-lumba yang melompat-lompat di tepi kayak di perairan Perak," katanya yang disambut oleh Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Henry Goh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 3:49 PM