Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Pisang antara buah yang mempunyai kandungan gizi yang baik bukan saja enak dimakan, malah amat bermanfaat untuk kecantikan kulit khususnya wajah.

Mempunyai wajah yang cantik secara semula jadi tentunya menjadi idaman setiap wanita. Malah penggunaan pisang saja membolehkan anda merawat kulit wajah dengan mudah.

Jika sudah makan pisang tentu kulitnya dibuang begitu saja, tetapi sebenarnya ia dapat dimanfaatkan agar kulit wajah lebih bersinar dan bersih. Dengan harga yang murah, tentunya pisang boleh dicuba untuk mencantikkan kulit wajah walaupun memakan masa lama.

Pisang kaya dengan pelbagai nutrien termasuk vitamin B, B6 dan C serta magnesium, kalsium dan besi. Daripada kandungan berkenaan, ia tentunya sangat baik untuk digunakan dalam perawatan wajah.

Untuk mencerahkan wajah, pisang boleh dijadikan masker justeru, tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan kulit bersih dan putih.

Bagi menghilangkan jerawat pula, isi pisang yang matang dan berwarna kuning boleh dihancurkan secukupnya sebelum dioles ke setiap bahagian kulit wajah.

Biarkan seketika selama beberapa saat sebelum dibersihkan. Ulangi beberapa hari hingga jerawat hilang. Ia bukan saja mampu membuat kulit wajah menjadi halus dan bebas daripada jerawat malah terbukti berkesan tanpa sebarang kesan sampingan.

Jika kulit kasar dan kering, cubalah masker pisang secara rutin dalam beberapa minggu hingga kulit terasa halus dan lembut dengan menambah satu senduk madu yang diadun bersama pisang.

Antara sebab kulit tampak kotor dan berminyak berpunca daripada sel kulit mati yang tertinggal pada wajah. Tetapi penggunaan pisang boleh membantu anda menghilangkan kulit mati dengan mudah.

Caranya, hancurkan pisang hingga halus dan oleskan pada wajah. Biarkan hingga mengering sebelum dibilas dengan air bersih.

Pisang bukan saja bermanfaat untuk kecantikan kulit wajah malah ia juga digunakan untuk mengatasi masalah pada kulit di bahagian lain antaranya menghilangkan parut luka. Caranya, hanya gosokkan gosokkan kulit pisang pada bahagian bermasalah.

Selain itu, ketika digigit serangga kulit menjadi merah dan muncul bengkak kecil pada bahagian gigitan. Namun, cukup dengan mengoleskan kulit pisang ke bahagian gigitan serangga itu, biarkan hingga rasa gatal hilang.

Bagi menghilangkan masalah kutil pula, kulit pisang boleh digunakan dengan menggosokkannya secara teratur pada kulit yang terkena kutil pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 12:54 PM