MUHAMAD Izzamir Nabihan A Majid meninggal dunia dalam kemalangan terbabit. FOTO ihsan USM
Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Georgetown: Seorang penuntut tahun akhir Kejuruteraan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM) maut dalam kemalangan membabitkan bas dinaiki di Acheh, Indonesia, semalam.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman berkata, penuntut terbabit Muhamad Izzamir Nabihan A Majid, 23, bersama 25 warga USM mengikuti rombongan di lombong arang batu di Acheh.

Menurutnya, rombongan terdiri daripada 19 penuntut dan enam kakitangan USM termasuk pensyarah dan setakat ini pihaknya masih menunggu maklumat lanjut berhubung kemalangan itu.

"Tujuh daripada mereka mengalami kecederaan ringan dan dimasukkan ke hospital.

"Setakat ini, kita sudah memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sementara itu, jenazah Muhamad Izzamir dijangka tiba dengan penerbangan dari Jakarta ke Pulau Pinang pada 8 malam ini dan akan dibawa ke Masjid Abdullah Badawi, Kepala Batas.

Jenazah dijangka disemadikan di Penaga, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 11:01 AM