Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan stabil antara 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini disokong oleh pertumbuhan permintaan dalam negeri yang mapan dan sektor eksport berdaya tahan.

Permintaan dalam negeri menjadi peneraju pertumbuhan tahun ini dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta. Selepas lima tahun berturut-turut mencatatkan pertumbuhan melebihi kadar pertumbuhan purata, segmen itu diunjurkan berkembang enam peratus pada tahun ini.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (gambar) berkata, daripada segi imbangan perdagangan dijangka lebih kecil, tetapi kekal dalam kedudukan lebihan manakala akaun perkhidmatan diunjurkan mencatat defisit lebih kecil dengan jangkaan pemulihan dalam ketibaan pelancong.

“Secara keseluruhan, lebihan akaun semasa diunjurkan lebih rendah kepada dua hingga tiga peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) pada tahun ini.

“Daripada segi penawaran, semua sektor ekonomi dijangka berkembang yang mana sektor perkhidmatan dan perkilangan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan keseluruhan,” katanya pada taklimat Laporan Tahunan BNM 2014 di sini, semalam.

Kedudukan kewangan BNM kekal kukuh pada 2014 yang mana aset bersih mencatatkan RM427.6 bilion dengan keuntungan bersih RM6.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014. BNM mengumumkan pembayaran dividen RM3 bilion kepada kerajaan pada tahun berkenaan.

Zeti berkata, inflasi keseluruhan diunjurkan lebih rendah pada kadar dua hingga tiga peratus tahun ini berikutan harga tenaga dan makanan global lebih rendah.

Katanya, penurunan harga minyak global menyebabkan harga bahan api domestik lebih rendah menerusi mekanisme penentuan harga apungan terurus bagi bahan api.

“Tekanan harga luaran lebih lemah juga mengurangkan peningkatan kos import yang berpunca daripada penyusutan nilai ringgit baru-baru ini, sekali gus menurunkan inflasi yang diimport.

“Daripada segi dasar fiskal tahun ini, akan tertumpu pada pengurusan fiskal dalam keadaan persekitaran harga komoditi global yang rendah,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, hasil berkaitan minyak yang dijangka lebih rendah mendorong kerajaan untuk memperkenalkan langkah awalan pelarasan fiskal dan menyemak sasaran defisit fisikal daripada tiga peratus kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:51 AM