Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my

Seremban: Selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan, penyerang Negeri Sembilan (NS) Matrix Mohd Khyril Muhymeen Zambri sedia untuk kembali diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, esok.

Pemain berusia 27 tahun dari Kedah itu hingga kini masih belum beraksi selepas pasukan berkenaan menamatkan empat perlawanan Liga Perdana dan satu Piala FA.

Kini, dia melaungkan azam untuk menggalas tugas membantu memantapkan lagi kekuatan serangan skuad Hoben Jang Hoben ketika prestasi pasukan tampak membanggakan apabila merekodkan lima kemenangan berturut-turut dalam semua saingan.

“Jika ketua jurulatih (K Devan) mengarahkan saya beraksi Jumaat ini, sudah pasti saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik kerana kami mahukan kemenangan dan mempertahankan rekod tanpa kalah pasukan.

“Saya sudah bersedia untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan, malah ketika ini mencapai tahap kecergasan terbaik.

“Saya harap kecederaan lutut dialami tidak berulang bagi membolehkan saya memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi pasukan setakat ini, pemain kebangsaan itu berkata, semua pemain perlu fokus dan menggandakan usaha kerana cabaran liga semakin sengit.

Menurutnya, pasukan lawan sudah pasti membuat persiapan lebih rapi dan memberikan tentangan habis-habisan apabila bertemu NS Matrix.

“Saya yakin rakan pasukan akan berjuang dengan semangat tinggi untuk meneruskan kemenangan ke atas T-Team bagi memastikan kedudukan kami di puncak carta liga tidak tergugat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:42 AM