IBU bapa perlu sentiasa beri perhatian kepada perubahan fizikal dan mental kanak-kanak.
SESI terapi berterusan perlu dilakukan bagi memudahkan proses pemulihan pesakit.

Strok tidak mengenal usia. Strok juga tidak mengira latar belakang seseorang itu. Dalam sesetengah kes, pesakit strok menjalani kehidupan yang sihat dengan kerap bersenam dan menjaga pemakanan.

Ada pula punca strok disebabkan rangkaian penyakit utama seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi hingga membuatkan saluran darah ke otak sempit malah tersumbat.

Namun bagi kanak-kanak, kebanyakan kes membabitkan masalah genetik iaitu diwarisi daripada ahli keluarga.

Menurut Ketua Latihan Pemulihan dan Pembangunan Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM), Qamer Iqbal Khan, strok yang berlaku dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan remaja adalah disebabkan daripada genetiknya serta sudah ada sejak dilahirkan.

“Seperti apa dialami Nur Izzati, majoriti pesakit strok dalam kategori kanak-kanak dan remaja ini dilahirkan dengan masalah sistem saluran darah kecil, selain beberapa masalah kesihatan genetik lain.

“Justeru untuk membantu si kecil ini menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa, ibu bapa perlu menitikberatkan pelbagai perkara membabitkan persekitarannya dan bukan semata-mata pada dietnya.

“Ada juga ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi untuk anak mereka pulih daripada strok sedangkan tiada jaminan serangan akan berhenti apabila tiada lagi tanda selepas beberapa tahun,” katanya.

Pembedahan ke atas saluran darah yang sempit itu adalah antara prosedur lazim yang dilakukan ke atas pesakit strok, tidak terkecuali golongan kecil.

“Biasanya pembedahan diperlukan apabila ia makin memudaratkan kanak-kanak dan ia perlu disusuli dengan sesi terapi berterusan.

“Ada segelintir ibu bapa yang berasakan pembedahan sudah memadai hingga mengabaikan sesi terapi. Sesi terapi ini sebenarnya amat penting bagi membantu memudahkan proses pemulihan mereka.

“Pakar terapi akan menjalankan sesi pemulihan merangkumi fisioterapi, terapi cara kerja dan pertuturan mengikut keperluan pesakit.

“Matlamat utamanya untuk membantu pesakit berdikari agar boleh kembali melakukan aktiviti harian seperti biasa, di samping memulihkan kembali keyakinan diri dengan memberikan mereka motivasi fizikal dan mental,” jelasnya.

Berikut beberapa simptom yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa jika ia berlaku pada si kecil

- Hujung jari dan tangan tiba-tiba kejang selama beberapa saat

- Barang yang dipegang jatuh tanpa disebabkan pelanggaran atau secara sengaja

- Anak secara tiba-tiba sukar bercakap atau tergagap-gagap tanpa sengaja

- Penglihatan kabur

- Pening, kehilangan imbangan dan mengalami kekeliruan

- Sukar memproses maklumat secara tiba-tiba

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 12:28 PM