Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Ipoh: Seorang wanita yang dipercayai mendera kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun hingga mati disambung reman selama tujuh hari lagi bermula esok.

Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan wanita berusia 26 tahun terbabit yang juga pengasuh kanak-kanak berkenaan disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Rahimah Rahim.

Dalam kejadian 3 Mac lalu, mangsa Nor Saraniya Abdullah, 3, disahkan meninggal dunia di kediaman suspek di Kledang Jaya oleh pasukan perubatan selepas mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan pada mulut.

Hasil bedah siasat terhadap mangsa kemudian mendapati kanak-kanak terbabit meninggal dunia akibat jangkitan kuman kerana kekurangan zat makanan, selain terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat kekerasan atau penderaan di badan mangsa.

Suspek yang dipercayai penagih dadah ditahan polis pada 2.30 petang 4 Mac lalu di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini serta direman tujuh hari sehingga hari ini dan kini disambung reman sehingga 18 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 12:28 PM