MINUMLAH air kosong berbanding minumam manis.
CAMPUR buah-buahan ke dalam hidangan aiskrim.
Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Mampukah kita mewartakan ‘perang’ terhadap gula seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)? Ya, saranan ini diberikan untuk membendung masalah obesiti yang semakin menjadi-jadi di seluruh dunia.

Walaupun dalam garis panduan WHO sebelum ini menyatakan pengambilan gula harian sepatutnya tidak melebihi 10 peratus daripada pengambilan jumlah keseluruhan tenaga harian, tetapi kini badan dunia itu menggalakkan supaya semua orang mencatu sehingga 50 peratus jumlah gula yang masuk ke dalam badan.

Had baru itu menetapkan pengambilan gula harian tidak melebihi lima peratus jumlah keseluruhan kalori harian atau 25 gram yang bersamaan dengan enam sudu teh gula sehari. Ia lebih rendah daripada jumlah gula dalam satu tin minuman berkarbonat yang biasanya mengandungi lebih kurang 10 sudu teh gula.

Kesan negatif gula pada kesihatan, semua orang sudah maklum. Malah, mungkin ada yang muak hendak membacanya. Persoalannya, bersediakah kita untuk memulakan ‘perang’ ini? Pengambilan gula dalam bentuk nyata mungkin tidak sukar untuk dikawal.

Contohnya kita boleh menyediakan minuman yang kurang manis ketika berada di rumah. Bagi yang menggunakan gula dalam masakan berlauk sebagai penyedap rasa, mungkin boleh secara perlahan-lahan ‘memansuhkan’ fungsi gula itu.

Antara gula ‘percuma’ yang membahayakan kesihatan itu termasuk gula pasir, fruktosa atau glukosa yang banyak dimasukkan ke dalam perusahaan makanan mahupun minuman. Ia juga merangkumi gula dalam madu dan jus buah. Bagaimanapun, dalam garis panduan baru itu tidak merujuk kepada gula dalam buah-buahan segar, sayur-sayuran dan susu kerana sehingga kini tiada bukti menunjukkan ia berbahaya.

Pada masa sama pengguna juga digesa untuk memberi perhatian kepada gula tersembunyi dalam makanan berproses yang dilihat tidak manis seperti sos cili atau tomato, tetapi biasanya mengandungi satu sudu teh gula dalam setiap satu sudu makan sos.

Dalam satu tinjauan ke atas pasar raya di Amerika Syarikat mendapati 80 peratus produk dijual mengandungi gula tambahan. Contohnya satu mangkuk saiz biasa bijirin sarapan pagi mengandungi empat sudu teh gula dan yogurt berperisa pula ada satu hingga dua sudu teh gula.

“Jika anda makan bijirin sarapan pada waktu pagi, minum minuman berkarbonat sebelah siang dan yogurt berperisa selepas makan malam, bermakna anda sudah mengambil 15 sudu teh gula dalam sehari,” kata Francesco Branca, ketua di Jabatan Pembangunan dan Pemakanan Untuk Kesihatan WHO.

Badan kesihatan itu mula membangkitkan isu gula tambahan ini pada 1989 dan menyarankan supaya penduduk dunia mengurangkan pengambilan gula harian sedaya mungkin.

Kali ini ia memberikan saranan baru yang dikukuhkan dengan bukti saintifik bagi menggalakkan semua orang benar-benar mengawal pengambilan gula masing-masing selain menggesa kerajaan semua negara menjadikan saranan berkenaan sebagai satu polisi.

Bagaimanapun, sebagaimana laporan agensi berita AFP, banyak pihak melihat saranan baru ini amat sukar dicapai kerana kita perlu menghentikan makan kek, biskut, ais krim dan lain-lain minuman manis termasuk jus buah, kata Tom Sanders, pensyarah pemakanan dan dietetik di Kolej King, London.

Di seluruh dunia, pengambilan gula yang tertinggi dicatat di Amerika Selatan iaitu 130 gram sehari, lebih dua kali ganda daripada saranan WHO (50 gram), manakala negara Sub Sahara Afrika paling rendah sekitar 30 gram saja.

Di Eropah, pengambilan gula harian berbeza antara negara tujuh hingga lapan peratus di Norway dan Hungary, tetapi 16 hingga 17 peratus di Sepanyol dan Britain. Apa lebih membimbangkan ialah pengambilan ini tinggi dalam kalangan kanak-kanak iaitu 12 peratus di Denmark dan Sweden sementara kanak-kanak Portugal pula mencatat pengambilan hampir 25 peratus.

Memang diakui saranan baru ini amat baik khususnya dalam mengekang masalah kesihatan sejagat seperti obesiti, diabetes, sakit jantung dan lain-lain penyakit.

Dalam usaha membanteras obesiti sejagat, lebih 50 negara kini dikenal pasti memerlukan label pemakanan pada bungkusan yang lebih jelas dan Mexico negara yang paling teruk berhadapan dengan masalah berat badan rakyatnya sudah mengenakan cukai ke atas minuman manis.

#Langkah kecil

Dalam isu mengurangkan pengambilan gula ini, mungkin ada yang masih ingat kempen Kementerian Kesihatan pada 1998 yang dijalankan secara intensif. Semasa kempen ini, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk memberi kesedaran kepada pengusaha gerai makanan dengan menggunakan slogan ‘1 Mencukupi, Kurang Lebih Baik’.

Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan dalam Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, orang dewasa di Malaysia menambah tujuh sudu teh sehari iaitu empat sudu teh gula pasir dan tiga sudu teh susu pekat manis ke dalam minuman mereka.

Jumlah gula ditambah ke dalam minuman ini saja sudah melebihi saranan WHO dan Panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan jumlah gula sehari tidak melebihi 50 gram.

Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh. Secara semula jadi, gula boleh didapati dalam makanan mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa dan susu dalam bentuk laktosa.

Selain terdapat dalam bentuk semula jadi, gula juga ditambah ke dalam makanan ketika penyediaan atau pemprosesan. Pengambilan gula tambahan tidak diperlukan dalam diet harian kerana gula boleh diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.

Pada label makanan, gula boleh disenaraikan sebagai sukrosa, fruktosa, sorbitol, manitol, sirap jagung, madu, malt, ekstrak malt, maltosa, ekstrak beras, molas, golden syrup dan inverted sugar .

Sebagai ibu bapa dan pengguna, sebenarnya kitalah yang bertanggungjawab dalam menjaga pemakanan keluarga khususnya anak-anak. Kita boleh menyahut saranan ini dengan membuat beberapa pengubahsuaian kecil dalam soal pemakanan keluarga.

Antara langkah yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan pengambilan gula dalam keluarga ialah:

- Minumlah air kosong berbanding minuman manis seperti air berkarbonat, air sirap atau kordial.

- Hadkan pengambilan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis kepada satu sudu teh saja untuk setiap cawan minuman.

- Jika minum di restoran, minta untuk kurangkan gula, susu pekat manis atau susu isian pekat manis semasa memesan minuman.

- Periksa kandungan gula dalam label minuman sama ada minuman ringan atau jus buah-buahan.

- Kurangkan kekerapan mengambil minuman bergula seperti air berkarbonat, kordial, cendol dan air batu campur.

- Jangan masukkan gula ke dalam bancuhan susu formula anak.

- Ketika membeli barangan makanan, pilih yang dilabel ‘tiada gula tambahan, dikurangkan gula atau rendah gula’. Ia bermakna tiada gula tambahan dimasukkan ketika makanan diproses tetapi ia tetap ada kandungan gula contohnya daripada buah, susu atau madu.

- Kalau biasanya anda memberikan snek manis kepada si kecil, apa kata anda ubah kepada pilihan yang lebih sihat seperti makanan manis semula jadi (buah-buahan segar atau kering).

- Apabila anak menangis, jangan tawarkan gula-gula atau kudapan manis kepadanya.

- Jika anda sendiri mempunyai kecenderungan tinggi terhadap makanan manis, belajarlah mengawal keinginan anda. Ini kerana anda menjadi penentu kepada corak pemakanan keluarga.

Sebagai ganti, anda boleh membuat sendiri biskut kegemaran. Dengan cara ini anda boleh mengurangkan sehingga separuh daripada sukatan gula digunakan tanpa menjejaskan rasanya atau kerangupannya.

- Jika sebelum ini anda sering menghidangkan atau membekalkan sandwic berinti manis (disapu jem atau mentega kacang) untuk anak, apa kata selang-selikan ia dengan sandwic telur atau sardin. Masukkan juga parutan sayur-sayuran ke dalam inti sandwic bagi menjadikan ia pilihan lebih sihat dan seimbang.

- Tarikan aiskrim memang sukar untuk ditolak. Jadi untuk menjadikan ia lebih sihat, masukkan hirisan buah-buahan ke dalam mangkuk aiskrim anda dan anak-anak. Ini adalah cara untuk mengurangkan jumlah aiskrim dan pada masa sama menambah pengambilan serat dalam diet. Hadkan pengambilan aiskrim ini kepada satu mangkuk kecil seorang, sekali seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 12:26 PM