Mohammad Awari didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. FOTO Ramli Ibrahim
Oleh Muhamaad Razis Ismail & Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

Gua Musang: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, bagi menghadapi tuduhan membunuh seorang wanita yang juga isteri sukarelawan polis, 1 Mac lalu.

Tertuduh, Mohammad Awari Ahmad, 21, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izzudin Mohd Shukri.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Yashmin Fauzi, 25, di sebuah rumah tanpa nombor, Kampung Batu Papan, di sini antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi, pada 1 Mac 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Yashmin maut dipercayai dikelar penjenayah yang memecah masuk rumah sewanya di Kampung Batu Papan, di sini, pada 2.30 pagi.

Ketika kejadian, suaminya Mohd Azrul Isahak, 30, yang juga sukarelawan polis, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

Mohd Azrul yang berasa tidak sedap hati dan hilang tumpuan ketika bertugas, meminta izin pegawainya pulang ke rumah seketika sebelum menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah di leher, tidak berpakaian dan keletihan di atas jalan, 100 meter dari rumahnya.

Mangsa meninggal dunia 6.40 pagi selepas empat jam menerima rawatan di bilik kecemasan Hospital Gua Musang (HGM) malah sempat memberitahu 'petunjuk' penting yang membawa kepada tangkapan suspek pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 12:04 PM