DR Mohd Shukor (kiri) selepas Forum Cukai LHDNM-CTIM 2015.

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan memberi impak kepada jumlah hasil pungutan cukai sebanyak RM142.6 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun ini kerana sasaran itu telah mengambil kira faktor berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, penurunan kadar cukai individu dan syarikat yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2015 tidak akan memberi kesan kepada jumlah kutipan cukai secara keseluruhan.

Beliau berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, trend kutipan cukai sentiasa meningkat dari semasa ke semasa berikutan usaha yang diambil oleh LHDN serta peningkatan kesedaran dalam kalangan pembayar cukai.

“Penurunan kadar cukai (susulan daripada pelaksanaan GST) tidak akan memberi kesan kepada jumlah kutipan tahun ini dengan harapan pembayar cukai sentiasa sedar akan tanggungjawabnya,” katanya selepas menyampaikan ucaptamanya pada Forum Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia-Institut Percukaian Malaysia 2015, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi yang menyatakan kutipan LHDN bakal terjejas kerana sebahagian hasil terbabit telah beralih kepada hasil yang dipungut menerusi GST.

Pada tahun lalu, LHDN mengutip cukai berjumlah RM133.7 bilion, meningkat sebanyak 3.59 peratus daripada jumlah kutipan pada 2013.

Mohd Shukor berkata, kutipan cukai bagi tahun ini dijangka agak mencabar susulan daripada ketidaktentuan harga minyak dunia.

Bagaimanapun, selagi tiada penurunan kadar pertumbuhan ekonomi yang mendesak di peringkat antarabangsa, beliau yakin tiada masalah bagi LHDN dalam melaksanakan kutipan cukai yang memberangsangkan tahun ini.

Bagi e-filing, beliau menyasarkan jumlah kutipan borang cukai menerusi kaedah ini meningkat kepada empat juta berbanding 3.8 juta yang diterima pada tahun lalu, melebihi sasaran awal sebanyak hanya tiga juta.

Beliau berkata, LHDN memberi kelonggaran kepada pembayar cukai yang memilih kaedah e-filing dengan tarikh akhir penerimaan borang pada 15 Mei berbanding borang manual pada 30 April. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:17 AM