DARI kiri, calon bebas, Aslah Mamat, 64, calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood, calon bebas, Fadzillah Husin, 55, Izzat Bukhary Ismail Bukhary, 48, dan Sharif Mahmood, 59.
Ismail Muhamad dan Adnan Mohamed

Kota Bharu: Pengurus PRK DUN Chempaka, Ibrahim Bakri Mat Deris mengumumkan pertandingan lima penjuru bagi PRK DUN itu membabitkan calon PAS dan empat Bebas.

Pengumuman dibuatnya di Pusat Penamaan Calon di MRSM Pengkalan Chepa, di sini, tadi.

Beliau turut mengumumkan, permulaan tempoh berkempen untuk semua calon, selama 12 hari sehingga 21 Mac.

Calon bertanding mengikut susun atur rasmi adalah Fadzillah Husin (Bebas), Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad dari PAS, Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas), Aslah Mamat (Bebas) dan Sharif Mahmood (Bebas).

Ahmad Fathan, 42, menggunakan lambang parti diwakilinya, manakala Izat Bukhary, 48, memilih pen diikuti Sharif, 59, (gajah), Fadzillah, 55, (kunci) dan Aslah, 64, (buku).

Ahmad Fathan yang juga Imam Tua Mukim Baung Besar berkata, keputusan parti memilihnya sebagai calon dianggap satu amanah dan berharap kerjasama jentera untuk memastikan kemenangan sekali gus mempertahankan kerusi itu.

Beliau diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Presiden PKR ,Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Izat Bukhary yang kali ketiga bertanding Bebas berkata, tidak serik untuk mencuba nasib dalam pilihan raya kecil kali ini, meskipun sedar risiko hilang wang pertaruhan.

Aslah yang juga pesara kerajaan pula berkata, mahu bertanding kerana ingin mendekati masyarakat selain menganggap peluangnya cerah disebabkan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon.

Bagi Fadzillah yang aktif dengan Persatuan Bukan Kerajaan (NGO), keputusan bertanding kerana ia satu platform terbaik untuknya bersuara walaupun sedar peluang menang adalah tipis.

Sementara itu, Sharif enggan mengulas sebabnya bertanding sehingga sidang media diadakan di pejabatnya di Taman Bendahara, di sini, kira-kira 12 tengah hari.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhir 12 Februari lalu akibat barah prostat.

Nik Abdul Aziz menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka selama tujuh penggal bermula 1986 yang ketika itu dinamakan DUN Semut Api.

DUN Chempaka mempunyai 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa; 1,497 pemilih awal dan tiga orang pengundi tidak hadir luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 11:07 AM