Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur : “Sistem Penyelenggaraan Kejuruteraan tidak dikemaskini dengan betul bila bateri peranti pengesan bawah air (ULB) pada kotak hitam pesawat itu mula-mula dipasang.”

Itu adalah penjelasan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) berhubung ULB pada perakam data penerbangan (FDR) pesawat MH370 yang didapati tamat tempoh pada Disember 2012 kira-kira 14 bulan sebelum insiden kehilangan pesawat malang itu.

Berdasarkan Laporan Interim Siasatan Kemalangan MH370 yang dikeluarkan semalam, tiada petunjuk yang memberi petanda bateri berkenaan ditukar sebelum tarikh luputnya.

Bagaimanapun, bateri ULB pada perakam suara kokpit (CVR) diganti mengikut jadual dan tarikh luputnya ialah Jun 2014.

Berdasarkan kenyataan MAS yang dikeluarkan hari ini untuk menjelaskan perkara itu, kesilapan itu berlaku akibat Sistem Penyelenggaraan Kejuruteraan tidak dikemaskini dengan betul bila bateri peranti pengesan bawah air (ULB) pada kotak hitam pesawat itu mula-mula dipasang.

“Namun, unit ULB yang sama juga dipasang pada CVR dan hayat bateri masih sah pada hari berkenaan seperti yang dinyatakan dalam Laporan Interim. CVR dipasang bersebelahan FDR di rak E7 Avionik. Bateri CVR sudah semestinya menghantar signal selama 30 hari selepas diaktifkan sebaik masuk ke dalam air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 4:58 PM