Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang buat julung kali menganjurkan majlis perkahwinan perdana ‘Walimatul Urus Perdana’ membabitkan 18 pasangan di Kompleks Sukan Balik Pulau, Ahad ini.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata program itu bertujuan mempermudah urusan perkahwinan terutama dalam kalangan pasangan muda tanpa perlu berbelanja besar.

“Kami berharap ia dapat menjadi majlis perkahwinan contoh kepada mereka yang ingin mendirikan rumah tangga secara sederhana mengikut syariat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima penyertaan daripada pengantin berusia antara 19 tahun hingga 25 tahun dan berhasrat menjadikan program itu sebagai acara tahunan dengan turut membabitkan pasangan pelbagai kaum pada masa depan.

Katanya, penyediaan makanan, perkhidmatan jurunikah, kad undangan dan cenderahati untuk tetamu disediakan pihak penganjur dengan setiap pasangan hanya perlu membayar RM1,000.

“Tetamu juga akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid termasuk artis jemputan Hafiz Hamidun dan tayangan video pengantin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangka kehadiran 7,500 jemputan dengan pasangan mempelai akan turut diarak ke tempat persandingan dengan menggunakan bas pelancongan Hop-On Hop-Off. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 4:24 PM