PASUKAN bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat dihempap batu. FOTO ihsan Bomba
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

 

Ipoh: Seorang pemandu mesin pengorek (excavator) maut selepas kenderaan berat dikendalikannya itu dihempap batu ketika mangsa menjalankan kerja-kerja kuari di Simpang Pulai di sini, pagi tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Rozmi Che Hamat, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 9.27 pagi dan sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa tersepit dalam mesin pengorek yang dikendalikannya akibat dihempap batu besar.

"Mangsa lelaki berbangsa India berusia 59 tahun, didapati tersepit di bahagian tempat pemandu dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kerja-kerja menggeluarkan mangsa dilakukan seramai 11 pegawai dan anggota Bomba Simpang Pulai menggunakan peralatan menyelamat termasuk bantuan mesin pengorek lain untuk menarik batu besar yang menghempap mangsa.

"Operasi tamat pada 10.50 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku akibat secara tiba-tiba satu batu besar jatuh ketika mangsa menjalankan kerja-kerja kuari hingga menyebabkan mangsa tersepit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 11:52 AM