AFP

London: Saingan Piala FA musim ini dilihat agak hambar tetapi aksi paling menarik dalam pertandingan itu dijangka dapat dilihat apabila juara bertahan, Arsenal berdepan Manchester United di Old Trafford untuk aksi suku akhir awal pagi esok.

Penyingkiran Chelsea, Manchester City, Tottenham Hotspur dan Southampton dilihat memudahkan laluan United serta Arsenal.

Persembahan kedua-dua pasukan sejak kebelakangan ini menjadikan saingan Piala FA satu-satunya pertandingan yang boleh menghadirkan piala buat mereka musim ini.

Kedua-dua pasukan berada dalam kedudukan baik untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan dengan Arsenal menduduki tempat ketiga sambil diekori United yang ketinggalan satu mata di kedudukan keempat.

Begitupun, Arsenal berkemungkinan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara musim ini apabila tewas 3-1 di tangan Monaco manakala United pula masih belum mempersembahkan aksi sebenar sejak dibimbing Louis van Gaal.

Arsenal menang semua empat perlawanan liga setakat ini tetapi rekod pertemuan di Old Trafford tidak begitu memberangsangkan buat kelab kendalian Arsene Wenger itu.

Mereka tidak pernah menang di Old Trafford sejak September 2006 dan ia membabitkan 10 perlawanan termasuk dua kekalahan dalam saingan Piala FA selain kekalahan besar 8-2 pada Ogos 2011.

Pengurus Arsenal bagaimanapun enggan bercakap mengenai badi pasukannya sebaliknya berkata: “Saya tidak percaya dengan sejarah pertemuan dalam bola sepak. Saya hanya percaya kepada prestasi pada hari perlawanan. Ketika ini, kami sedang mengharungi tempoh baik setiap kali bermain di tempat lawan.

“Saiz padang adalah sama tidak kira di mana sekalipun. Ia hanyalah mengenai sekuat mana usaha anda pada hari itu. Kedua-dua pasukan pasti memikirkan bahawa jika mampu mengatasi halangan kali ini, sudah tentu pasukan itu muncul juara.

“Kami yakin dengan aksi kamis etakat ini dan justeru, kami akan ke Manchester United untuk layak ke separuh akhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:07 AM