RAKYAT Israel yang hadir pada perhimpunan mendesak perubahan kerajaan di Dataran Yitzhak Rabin, Tel Aviv, kelmarin.
AFP

Tel Aviv: Puluhan ribu penunjuk perasaan berkumpul di sini malam kelmarin bagi membantah kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan mendesak ‘perubahan’, 10 hari menjelang pilihan raya umum.

Protes berkenaan dianjurkan pertubuhan akar umbi Million Hands dan yang berkempen untuk perjanjian damai antara Israel dan Palestin serta penubuhan sebuah negara Palestin.

Polis berkata, lebih 50,000 orang berhimpun di Dataran Yitzhak Rabin - yang dinamakan bagi mengenang bekas perdana menteri yang dibunuh di situ ketika perhimpunan damai pada 1995.

“Ini ialah demonstrasi oleh rakyat Israel yang mahukan perubahan politik dan perjanjian damai antara Israel dan Palestin.

“Kerajaan yang ada gagal menangani masalah sosial, ekonomi dan meningkatkan keselamatan,” kata seorang penganjur Dror Ben Ami.

Perhimpunan itu adalah antara protes anti-Netanyahu terbesar diadakan menjelang pilihan raya 17 Mac dan menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan berhaluan kanan.

“Kami berharap parti berhaluan kiri akan kembali,” kata Ben Ami.

Parti Likud pimpinan Netanyahu bersaing sengit dengan Kesatuan Zionis dalam kajian pendapat terbaru.

Netanyahu, jika menang kali ini, dijangka tidak akan berusaha untuk berdamai dengan Palestin kerana anggota Kabinet yang ada sekarang menentang pembentukan negara Palestin.

Turut serta dalam tunjuk perasaan semalam ialah bekas ketua agensi perisikan Israel, Meir Dagan, yang mengecam keras dasar Netanyahu.

“Israel mempunyai banyak musuh. Saya tidak gentar dengan mereka. Apa yang saya takut ialah pemimpin Israel sekarang,” katanya.

Ucapannya disambut dengan tepukan dan sorakan: “Bibi berundur!” merujuk gelaran kepada Netanyahu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:27 AM