BABAK romantis antara Cinderella dan Prince Charming.
Susunan Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kisah dongeng yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Biarpun ceritanya sudah sering diperturunkan dari generasi ke generasi, karya klasik ‘Cinderella’ cetusan idea Charles Perrault tetap mendapat sambutan hebat setiap kali dihasilkan dalam bentuk animasi, novel dan filem.

Terbaru, Cinderella diterbitkan lagi dan akan menemui penonton di pawagam pada 12 Mac (Khamis) ini.

Filem garapan Kenneth Branagh ini menampilkan barisan pelakon Lily James, Richard Madden, Holliday Grainger serta diperkuatkan dengan dua nama besar Hollywood, Cate Blanchett dan Helena Bonham Carter yang sememangnya dikenali dengan kekuatan lakonan tersendiri.

Walt Disney Studios tertarik untuk membawa ‘Cinderella’ kembali ke layar lebar, bagi mempopularkan kembali kisah yang sering menghiburkan semua golongan di seluruh dunia ini.

Kenneth Branagh (pengarah Hamlet dan Thor) memberikan sentuhan terbaiknya dalam pembuatan filem ini. Dia tertarik membaca skrip tulisan Chris Weitz ini dan menerusi perbincangan bersama dapat membayangkan imaginasi yang perlu dikembangkan untuk filem ini.

Meskipun menampilkan wajah baru sebagai bintang utama, satu ‘test market’ sudah dijalankan oleh penerbit, Walt Disney Pictures dengan memuat naik trailer filem dongeng klasik ini di medium sosial sejak tahun lalu dan hasilnya terbukti mengejutkan apabila mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan peminat.

Ia berjaya meraih jumlah perkongsian tinggi dalam kalangan pengguna Internet sekali gus membuatkan ramai ternanti-nanti garapan terbaru ini dan ingin melihat sama ada unsur klasik atau keaslian cerita dongeng Disney ini masih dikekalkan atau disuntik kelainan (twist) dalam naskhahnya.

Watak Cinderella dihidupkan oleh bintang siri Downtown Abbey, Lily James, manakala, bintang siri Game of Thrones, Richard Madden pula membawakan watak Prince Charming.

Seorang lagi pelakon Downtown Abbey, Sophie McShera memainkan watak kakak tiri Cinderella, Drisella, manakala Holliday Grainger sebagai Anastasia. Cate dan Helena pula masing-masing memegang peranan sebagai Ibu Tiri Jahat (Lady Tremaine) dan Ibu Peri (Fairy Godmother) Cinderella.

Diambil berdasarkan filem animasi Disney tahun 1950, Cinderella diberikan beberapa penyesuaian untuk menjadikannya lebih segar. Dalam versi ini, Cinderella dan Prince bertemu sebelum pesta tarian istana.

Prince Charming menyembunyikan identitinya dengan mengakui dia hanyalah seorang pegawai istana biasa. Ibu peri pula memainkan peranan yang lebih besar daripada filem sebelumnya. Awalnya dia menyamar sebagai pengemis tua yang mengawasi Cinderella, sebelum akhirnya mendedahkan bahawa dirinya adalah makhluk ajaib.

Biarpun sudah dapat mengagak kesudahan jalan ceritanya, penonton tetap teruja menunggu filem ini kerana dibuai keasyikan kemantapan pembikinan filem yang diterajui tiga penerbit iaitu David Barron, Simon Kinberg dan Allison Shearmur.

Ketika projek ini diumumkan pada November 2012, Cate Blanchett adalah pelakon pertama ditawarkan memegang watak Lady Tremaine. Emma Watson pula ditawarkan peranan Cinderella pada Mac 2013, namun tidak berhasil kerana gagal mencapai persefahaman dalam kontrak.

Beberapa nama lain iaitu Gabriella Wilde, Saoirse Ronan, Alicia Vikander, Bella Heathcote dan Margot Robbie juga dipertimbangkan untuk membawakan watak ini, namun turut gagal kerana masalah jadual dan konflik lainnya.

Hanya pada 30 April 2013, Lily James akhirnya diumumkan sebagai pemegang watak Cinderella dan seminggu kemudiannya, Richard Madden pula dipilih memegang watak Prince Charming.

Seterusnya satu persatu nama pelakon-pelakon lain diumumkan iaitu Holliday Grainger dan Sophie McShera membawakan watak dua saudara tiri Cinderella yang jahat bernama Anastasia dan Drisella.

Helena pula berikutnya diumumkan sebagai pemegang watak Ibu Peri, Stellan SkarsgÂrd (Grand Duke), Hayley Atwell (ibu Cinderella), Derek Jacobi (Raja) dan Nonso Anozie (Kapten).

Dihasilkan di Pinewood Studios di Buckinghamshire, England iaitu lokasi sama filem Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides dan Maleficent, manakala, penggambaran dibuat di pelbagai lokasi seluruh Englanda termasuk Istana Blenheim, Kastil Windsor, Old Royal Naval College dan Black Park.

Pasca produksi Cinderella dimulakan pada Disember 2013 dan selesai pada Ogos 2014. Hasil akhir filem ini diberi rating PG oleh Motion Picture Association of America (MPAA).

Cinderella menceritakan seorang gadis bernama Ella yang sering didera adik-beradik serta ibu tirinya setiap kali bapanya tiada di rumah.

Suatu hari, Ella bertemu seorang jejaka tampan di hutan yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai istana. Tidak lama kemudian, keluarga Ella menerima jemputan untuk menghadiri majlis keramaian di istana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:09 AM